AS sekat minyak sawit tidak jejas SD Plantation - MIDF | DagangNews Skip to main content

AS sekat minyak sawit tidak jejas SD Plantation - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Prospek Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) dijangka kekal utuh walaupun Amerika Syarikat (AS) menyekat minyak sawit pengeluaran Sime Darby ekoran tuduhan buruh paksa. 

 

Ini susulan, kumpulan syarikat itu kini dalam proses melantik penaksir bebas untuk melihat dan memastikan terdapat persekitaran yang selamat buat semua pekerjanya, jelas MIDF Research.

 

Sehubungan itu, MIDF meletakkan penarafan ‘neutral’ terhadap saham SD Plantation dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM5.08.

 

MIDF percaya SD Plantation bakal menyaksikan peningkatan perolehan kumpulan syarikat dengan ketara disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM). 

 

Namun, firma penyelidik itu melihat pengeluaran buah tandan segar SD Plantation mungkin terjejas kerana kekurangan buruh asing dan cuaca yang tidak baik seperti banjir di beberapa estetnya yang akan menjejaskan pendebungaan berkumpulan. 

 

“Bagi segmen hiliran, kami menjangkakan ia akan terus berprestasi baik didorong oleh peniagaan yang lebih baik terutamanya daripada operasi Eropah,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, SD Plantation kembali mencatatkan keuntungan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2020, dengan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM149 juta. 

 

Baca : SD Plantation kembali untung suku keempat 

 

Pada tempoh sama tahun sebelumnya, SD Plantation mencatat kerugian bersih berjumlah RM58 juta. 

 

Perolehan bagi suku tersebut juga meningkat 8% tahun ke tahun kepada RM3.64 bilion berbanding RM3.38 bilion. 

 

Pengeluaran buah tandan segar untuk suku keempat itu mencatat peningkatan 2% kepada 2.3 juta tan metrik berbanding 2.26 juta bagi tempoh sama 2019. - DagangNews.com