Sekatan CBP beri impak kecil ke atas kewangan IOI, ramal Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sekatan CBP beri impak kecil ke atas kewangan IOI, ramal Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Sebarang sekatan, sekiranya dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ke atas IOI Corp Berhad dijangka hanya mendatangkan impak kecil terhadap kewangan syarikat. 

 

Bagaimanapun, penganalisis di Maybank Investment Bank Research (Maybank IB), Ong Chee Ting tidak menolak kemungkinan bahawa perkembangan negatif itu akan ‘menjauhkan’ pelabur daripada membeli saham syarikat sehinggalah penjelasan lanjut dikeluarkan. 

 

“Menurut tahun kewangan 2020 (FY20), IOI meraih RM205 juta atau hanya 2.6% daripada hasil kumpulan yang disumbangkan Amerika Utara. 

 

“Sehingga terdapat bukti yang jelas, kekal ‘beli’ saham IOI dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM4.71,” jelas Chee Ting dalam satu nota kajian.

 

Baru-baru ini, IOI mengambil maklum mengenai surat dikeluarkan CBP AS yang membuka siasatan terhadap syarikat itu atas dakwaan penggunaan buruh paksa. 

 

Secara dasarnya, IOI telah menyemak kandungan surat tersebut yang mana menunjukkan petisyen berhubung maklumat atas dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi syarikat di Malaysia. 

 

Menurut IOI, syarikat amat memahami kepentingan hak dan persekitaran pekerja termasuk keperluan yang tertakluk di bawah undang-undang buruh Malaysia serta standard antarabangsa.

 

Setakat Jumaat lalu, CBP AS belum lagi menghubungi IOI berhubung siasatan mereka. 

 

Baca : Dakwaan buruh paksa, IOI belum dihubungi CBP AS

 

Syarikat perladangan di Malaysia termasuk IOI amat bergantung terhadap tenaga pekerja asing. 

 

Tambah Chee Ting, industri ini telah dibebani dengan kekurangan tenaga kerja selama tempoh beberapa tahun lalu dan hilang pendapatan kerana buah sawit segar yang tidak terkutip.

 

Kenaikan upah minimum, tuntutan untuk meningkatkan hak pekerja, dan kenaikan kos yang berkaitan dengan pengambilan pekerja asing menambah tekanan kewangan ke atas pemain industri. 

 

Baca : CGS-CIMB : IOI Corp dijangka berdepan sentimen negatif

 

“Tanpa harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi untuk menampung kos yang kian meningkat, industri ini perlu terus berinovasi, menjenterakan dan memperkenalkan bahan yang mempunyai kadar hasil lebih tinggi untuk mengekalkan kos unit rendah atau risiko pekebun yang tidak cekap. 

 

“IOI agak terlindung dari isu ini kerana mereka lebih ke hadapan berbanding pesaingnya dalam inovasi dan mekanisasi, serta ia merupakan salah satu pengeluar yang mempunyai kos terendah,” kata Chee Ting lanjut. 

 

Setakat 10.12 pagi, harga saham IOI menokok 6 sen kepada RM3.81. - DagangNews.com