KUALA LUMPUR 6 Jun - RHB Investment meramalkan sektor perbankan mencatatkan pertumbuhan untung bersih sehingga 6% bagi FY24 dan FY25 didorong pemulihan pendapatan faedah bersih (NII) daripada kestabilan margin faedah bersih (NIM) dan pertumbuhan pinjaman berterusan.
Firma itu juga menjangkakan kos kredit secara amnya kekal stabil walaupun pendapatan bukan faedah (NOII) mencatatkan permulaan bagus dan pada masa sama pertumbuhan dijangka berada pada paras sederhana sebanyak 6%.
Katanya, sektor itu kekal berhati-hati terhadap prospek makroekonomi disebabkan faktor seperti ketidaktentuan geopolitik, kadar faedah global, inflasi dan normalisasi kadar faedah domestik.
Bagaimanapun, bank-bank menjangkakan peningkatan dalam NIM dengan menurunkan kos pembiayaan dan meningkatkan hasil aset.
"Permintaan pinjaman disokong oleh projek runcit, Perusahaan Kecil dan Sederhada (PKS) dan infrastruktur, tetapi sesetengah bank mungkin memperlahankan pertumbuhan untuk menjimatkan modal atau jika margin terlalu kecil.
"Pendapatan yuran berkaitan pasaran modal dan keuntungan dagangan adalah tidak menentu dan bergantung pada peluang pasaran, menjadikannya mencabar untuk mengikuti prestasi suku pertama 2024.
"Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) untuk portfolio runcit dan PKS, kualiti aset keseluruhan kekal stabil. Bank mempunyai penimbal tindanan untuk mengurangkan risiko, kemungkinan memastikan kos kredit terkawal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, daripada lapan daripada bank di bawah liputan mereka, tujuh mencatatkan keputusan memenuhi jangkaan dan hanya Bank Islam Malaysia Bhd gagal memenuhi jangkaan kerana pendapatan bukan pembiayaannya adalah lebih lemah daripada jangkaan.
Katanya, berbanding angka konsensus, lima keputusan adalah sejajar, AMMB Holdings Bhd merekodkan prestasi cemerlang manakala Affin Bank Bhd dan Bank Islam adalah di bawah jangkaan.
Dividen sesaham (DPS) interim AMMB adalah di atas jangkaan, kerana penyiapan pembinaan modal membolehkannya meningkatkan nisbah pembayaran dividen FY24 kepada 40%, berbanding 35% pada FY23.
"Kami kekal 'neutral' terhadap sektor ini kesan penyederhanaan prospek pertumbuhan pendapatan dan terus memilih saham-saham dengan penilaian yang munasabah," katanya. - DagangNews.com