Sektor perindustrian diramal terus catat perkembangan positif didorong perbelanjaan domestik mampan | DagangNews Skip to main content

Sektor perindustrian diramal terus catat perkembangan positif didorong perbelanjaan domestik mampan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Sektor perindustrian diramal terus mencatatkan perkembangan dalam beberapa bulan akan datang didorong kesan asas rendah serta perbelanjaan domestik mampan.

 

Bagaimanapun, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, risiko kelemahan kekal, berpunca daripada konflik geopolitik yang berterusan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan lembap di China dan pertumbuhan lemah di Amerika Syarikat (AS).

 

"Indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan global terus susut pada Ogos pada 49.5 daripada 49.7 pada Julai 2024.

 

"Sementara terus memantau perkembangan global, kami mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 pada paras 5% tahun ke tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat sebanyak 5.3% pada Julai, meningkat daripada 5% pada Jun 2024.

 

Katanya, ia menandakan pertumbuhan bulan ketujuh berturut-turut dan mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 4.5%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi itu disokong pengembangan kukuh dalam sektor pembuatan sebanyak 7.7% dan elektrik pada 7%, manakala sektor perlombongan menguncup sebanyak 5%.

 

"Melangkah ke penghujung 2024, kami menjangkakan sektor perindustrian mengekalkan momentum menaiknya, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan beransur-ansur dalam pasaran global.

 

"Bagaimanapun, unjuran itu kekal berdepan risiko permintaan luar, yang boleh menjejaskan pengeluaran perindustrian Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan," katanya.

 

Mengenai ramalan KDNK, PublicInvest berkata, dengan pemacu pertumbuhan positif yang mampan, firma penyelidikan itu menjangka KDNK boleh melebihi had atas julat sasaran rasmi.

 

"Hasilnya, kami menjangkakan kerajaan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2024 semasa pembentangan Bajet 2025 pada 18 Oktober 2024, yang boleh meningkatkan keyakinan pelabur dan mewujudkan peluang perdagangan tambahan," katanya. - DagangNews.com