Sektor sarung tangan diunjur berdepan cabaran peraturan EUDR dan lebihan kapasiti, kata BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Sektor sarung tangan diunjur berdepan cabaran peraturan EUDR dan lebihan kapasiti, kata BIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - BIMB Securities telah mengekalkan saranan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah kesan cabaran Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang ketat dan lebihan kapasiti berterusan dalam industri itu.

 

Firma penyelidikan itu menyuarakan kebimbangannya terhadap pelaksanaan peraturan EUDR yang mengenakan keperluan ketat tanpa penebangan hutan ke atas rantaian bekalan getah.

 

"Kami percaya bahawa pengendali getah akan menghadapi cabaran besar dalam mematuhi EUDR, termasuk kerumitan rantaian bekalan mereka, akses yang tidak mencukupi kepada sistem pengumpulan data lanjutan serta kos kewangan tambahan bagi melaksanakan langkah pematuhan yang diperlukan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Walaupun BIMB mengakui keperluan EUDR memberi faedah jangka panjang kepada alam sekitar namun mereka meminta campur tangan kerajaaan kerana ia sangat penting bagi menyokong pengendali dalam mengatasi halangan selain memastikan pematuhan.

 

"Kegagalan memenuhi keperluan EUDR boleh memberi kesan teruk kepada pengusaha getah, termasuk denda yang besar dan kemungkinan penolakan produk daripada pasaran EU," katanya.

 

BIMB kekal berhati-hati terhadap sektor itu, dengan menyatakan lebihan kapasiti sebagai cabaran berterusan.

 

Pematuhan kepada EUDR boleh memburukkan lagi tekanan kewangan yang dihadapi oleh pengeluar sarung tangan getah, terutamanya mereka yang mempunyai campuran pengeluaran sarung tangan lateks tinggi, seperti Top Glove Corporation Bhd dan Supermax Corp Bhd yang lebih terdedah kepada risiko berkaitan penebangan hutan.

 

Bagaimanapun, Hartalega Holdings Bhd dengan kebergantungan yang rendah pada sarung tangan lateks, dilihat berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi halangan kawal selia, manakala pengeluar lain mungkin perlu mengukuhkan ketelusan dan kebolehkesanan rantaian bekalan mereka.

 

BIMB mengekalkan panggilan 'pegang' ke atas Hartalega dengan harga sasaran (TP) RM2.60, dan Kossan (TP: RM2.03) dan saranan 'jual' terhadap Top Glove (TP: 85 sen), manakala Supermax kekal tidak dinilai.- DagangNews.com