KUALA LUMPUR 11 Mac - Ekoran wujudnya dakwaan penggunaan buruh paksa dalam pengeluaran sarung tangan getah membabitkan beberapa syarikat di Malaysia, kini sektor tersebut berdepan isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang serius, menurut MIDF Research.
Pada Oktober lalu, Supermax Corp. Bhd. dikenakan perintah tahan pelepasan (WRO) oleh CBP AS atas dakwaan yang sama dan kemudiannya diikuti dengan penamatan kontrak penyumberan untuk sarung tangan nitril dari Kanada.
Walaupun telah melancarkan dasar pengurusan pekerja asing pada awal tahun ini untuk menambah baik standard buruhnya bagi memenuhi kriteria Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), tetapi MIDF Research berpendapat masih wujud jurang dalam pelaksanaan dasar yang membawa kepada larangan importnya di AS dan Kanada.
"Kami juga mendapati terdapat aliran keluar yang ketara daripada Supermax oleh pelabur asing mulai Januari 2022.
"Malah, Kossan Rubber Industries Bhd. juga berdepan aliran keluar asing yang sama dalam tempoh tersebut," jelasnya dalam laporan tematik mengenai sektor sarung tangan getah hari ini.
Bagaimanapun, firma itu mendapati, aliran masuk asing yang konsisten bagi Top Glove Corp. Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. yang didorong inisiatif mereka untuk memastikan pematuhan sewajarnya terhadap standard ESG.
Selain berdepan isu dakwaan buruh paksa ini, sektor tersebut juga menyaksikan penurunan ketara bagi harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah apabila vaksin COVID-19 dilancarkan secara besar-besaran di seluruh dunia.
Penurunan ASP
Penurunan ASP ini menyebabkan nilai eksport Malaysia bagi sarung tangan getah pada Januari 2022 susut 7.6% bulan ke bulan kepada RM2.2 bilion manakala dari segi volum, juga susut 1.4% bulan ke bulan kepada 74,175 tan selepas mencatat kenaikan 1.8% pada Disember.
Kemerosotan ini disebabkan terutamanya kemasukan pemain baharu dalam industri sarung tangan dan pelan pengembangan pemain industri sedia ada, yang menyaksikan penawaran dan persaingan yang lebih tinggi, sekali gus mendorong penurunan ASP
Volum jualan juga telah menurun apabila pelanggan terus melaraskan inventori disebabkan penurunan ASP dan isu logistik seperti kekangan kapasiti pada kapal.
ASP untuk sarung tangan serbuk lateks, bebas serbuk lateks dan nitril untuk suku pertama 2022 berada pada paras AS$27.1, AS$32 dan AS$36.6 setiap 1,000 keping.
MIDF Research berpendapat, ASP tidak akan kembali ke tahap sebelum pandemik disebabkan oleh perubahan struktur dalam penggunaan sarung tangan dan kesedaran kebersihan yang lebih tinggi.
"Melangkah ke hadapan, kami berpendapat bahawa jumlah dan nilai ini akan meneruskan trajektori menurun sebelum kembali normal," katanya.
Dalam pada itu, firma itu berkata, sentimen yang berlegar-legar membabitkan saham sarung tangan dapat dilihat menerusi Indeks Penjagaan Kesihatan yang kini berada sekitar paras 2,100 mata, berbanding prestasi puncak pada pertengahan April tahun lalu di mana indeks mencapai paras 3,382.38 mata.
Bagaimanapun, pada 29 November lalu, volum yang diniagakan mencecah paras tertinggi pada 583 juta dan indeks mencecah 2,540.26 mata berikutan varian Omicron. Tetapi, ia hanya dalam tempoh jangka pendek dan kemudiannya kembali normal.
"Kami menjangkakan saingan dalam sektor ini hanya berjangka pendek kerana kekurangan pemangkin yang kukuh bagi menyokong kepentingan jangka panjang dalam saham sarung tangan getah.
"Di sebalik kenaikan kadar jangkitan akibat Omicron di negara ini, kami berpendapat, kadar vaksinasi yang tinggi dan peralihan kepada fasa endemik, akan menyaksikan ASP dan permintaan sarung tangan getah kembali stabil," jelasnya.
Pandangan 'neutral'
Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan getah berikutan penurunan ASP, kenaikan harga bahan mentah, kos pengangkutan dan kekurangan pemangkin dalam tempoh terdekat.
"Risiko kepada penarafan kami termasuk pergerakan yang lebih besar daripada jangkaan dalam ASP dan ketidaktentuan harga bahan mentah," katanya.
Saham Hartalega menjadi pilihan utama bagi sektor tersebut dengan saranan 'neutral' pada harga sasaran (TP) RM5.88 berikutan pendekatan inovatif mereka ke arah pengeluaran automasi dan memberi fokus untuk mengurangkan risiko ESG.
Selain itu, firma itu juga 'neutral' terhadap Kossan (TP: RM1.78), Top Glove (TP : RM2.27) dan Supermax (TP: RM1.20) memandangkan penurunan ASP kekal menjadi faktor risiko utama pada masa akan datang. - DagangNews.com