Sektor sarung tangan getah terancam? | DagangNews Skip to main content

Sektor sarung tangan getah terancam?

Sektor sarung tangan getah terancam?

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

Sebut sahaja produk sarung tangan getah, pastinya nama Malaysia menjadi fokus bualan dan pilihan negara-negara luar terhadap produk berkenaan.

 

Keunggulan Malaysia terbukti apabila berjaya menguasai 65% pasaran sarung tangan perubatan dunia sekali gus menempatkan diri sebagai pengeluar utama.

 

Tidak cukup dengan itu, pada Oktober tahun lalu, sarung tangan getah tampil menjadi penyumbang utama dalam peningkatan jumlah eksport negara.

 

Eksport industri berkenaan meningkat sekitar RM2.9 bilion atau 183.8% yang menjadikan jumlah keseluruhan eksport bulan tersebut sebanyak RM91.1 bilion.

 

Jika kita lihat semula landskap eksport sarung tangan getah negara pada 2020, Amerika Syarikat (AS) tampil sebagai negara penerima produk sarung tangan getah tertinggi iaitu pada kadar satu pertiga (33.9%).

 

Laporan yang dikeluarkan MIDF Research itu turut memberitahu, jumlah permintaan sarung tangan getah melonjak di negara-negara Eropah seperti Sepanyol (+243.3%), UK (+207.3%), Belanda (+204.9%) berbanding tahun sebelumnya.

 

Eksport sarung tangan getah ke China dan AS juga turut melonjak sebanyak 139.2% dan 81% tahun ke tahun pada 2020.

 

.

 

Menilai kepada kecemerlangan sektor berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof baru-baru ini memberitahu, kerajaan akan terus membantu sektor tersebut untuk memastikan Malaysia kekal sebagai pengeksport terbesar di dunia.

 

Beliau mengharapkan agar industri berkenaan terus memacu ekonomi negara di samping membuka peluang pekerjaan.

 

Keselesaan sektor berkenaan sedikit terjejas apabila 'ditiup' khabar angin yang kurang menyenangkan.

 

Satu laporan menjangkakan bahawa China akan muncul dan menjadi pembekal terbesar sarung tangan getah bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

Perkara itu secara tidak langsung merampas dan menjejaskan posisi Malaysia sebagai pengeksport terbesar di dunia.

 

.

 

Isu berkenaan mendapat respon awal Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Dr. Supramaniam Shanmugam.

 

Beliau yang dipetik Berita Harian semalam berkata, meskipun China mempunyai kemampuan, namun negara berkenaan perlu mengambil masa yang lebih lama untuk muncul sebagai pengeluar terbesar dunia.

 

"Pengembangan pasaran akan mengambil masa. Begitu juga dengan aspek jualan dan pemasaran yang memerlukan tempoh yang lama untuk mencari pasaran dan meyakinkan pelanggan.

 

"Dari sudut Malaysia, kita melihat kejayaan yang dibina peserta industri tempatan menerusi pembinaan hubungan yang mengambil masa lebih 15 tahun lamanya bersama pelanggan.

 

"Inovasi yang dilaksanakan peserta industri kita juga mengambil masa tujuh hingga lapan tahun bagi memenuhi kualiti dan keperluan peraturan. Jadi, saya melihat unjuran dan ramalan tidak sama dengan realiti sebenar," jelasnya.

 

Isu berkenaan bagaimanapun turut mendapat pandangan berbeza daripada Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.

 

Beliau ketika dihubungi DagangNews.com hari ini berkata, dirinya tidak akan terkejut sekiranya China berjaya menjadi pembekal utama dalam tempoh yang lebih cepat. 

 

Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.
Baharom Abdul Hamid.

 

Katanya, ini kerana China mempunyai satu kelebihan yang tidak dimiliki Malaysia iaitu kos buruh yang murah selain kemajuan teknologi.

 

Dengan kelebihan tersebut katanya, sudah pasti harga sarung tangan yang ditawarkan boleh menjadi jauh lebih murah daripada apa yang ditawarkan oleh Malaysia.

 

"Dengan kos buruh yang murah itu, maka kos keseluruhan pengeluaran akan menjadi murah dan secara tidak langsung China boleh menutup persaingan dari negara kita.

 

"Kita tak mampu nak tawarkan harga yang murah sebab kita mempunyai kos buruh yang tinggi. Dari segi pekerja tempatan, kita mempunyai kadar gaji minimum dan pekerja asing yang kita ambil juga agak tinggi kosnya.

 

"Lima tahun tu adalah satu jangka masa yang terlalu jauh. Saya tak akan terkejut kalau dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang China boleh mencabar kedudukan kita," jelasnya.

 

.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sektor sarung tangan negara pada hakikatnya berdepan dengan cabaran dan berita negatif seperti pengeksploitasian pekerja asing dan penyediaan prasaranan asrama pekerja yang sesuai.

 

Perkara ini pastinya menambah beban pengeluar sarung tangan negara sekali gus menimbulkan kegusaran pembeli luar yang mungkin akan mencari alternatif lain.

 

Dalam laporan pengeluaran getah asli yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, pengeluaran getah asli negara susut 8.2% pada Januari 2021.

 

.

 

Eksport getah asli Malaysia juga menurun sebanyak 21.8% kepada 48,125 tan berbanding 61,547 tan pada Disember 2020.

 

Dalam laporan sama, China mengekakan kedudukan sebagai destinasi utama eksport getah asli sebanyak 43.4% dan diikuti Iran (8.5%).

 

Mengulas berkaitan kekurangan sumber bahan mentah China yang mungkin merencatkan rancangan berkenaan, Baharom memberitahu, perkara tersebut boleh diatasi oleh China dengan dua pendekatan.

 

Jelasnya, China berkemungkinan akan menggunakan getah sintetik untuk penghasilan sarung tangan selain mengimport susu getah dari negara lain iaitu Indonesia.

 

"Saya lebih cenderung merasakan bahawa China mungkin lebih bergantung kepada bahan getah sintetik ditambah lagi dengan kemajuan teknologi mereka.

 

"Teknologi di China memang maju kerana mereka mempunyai Technology Survival atau Economy Survival. Untuk bergerak kehadapan, mereka terpaksa memajukan R&D, kalau kita lihat R&D China memang telah maju kehadapan. Bullet Train China boleh buat, kapal terbang jumbo China boleh buat, maksudnya R&D mereka agak maju dan kehadapan berbanding negara kita.

 

"Kita sebaliknya hanya mengharapkan kelebihan mempunyai sumber getah asli. Tetapi kita tidak ada sesuatu yang boleh dibanggakan mengenai R&D atau ciptaan daripada getah asli," tambah beliau lagi.

 

.

 

Tegasnya lagi, R&D dalam sektor getah negara dilihat terabai dan tidak mencatatkan apa-apa pencapaian cemerlang dalam produk berasaskan getah bagi tempoh 20 hingga 30 tahun kebelakangan ini.

 

Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) dilihat seolah-olah 'hidup segan mati tak mahu' kerana tidak memainkan peranan seperti zaman 70-an dan 60-an dahulu.

 

Pada zaman 70-an dan 60-an dahulu, RRI memainkan peranan penting dalam kajian seperti memaksimumkan susu getah, bagaimana teknologi menoreh yang lebih baik dan sebagainya. - DagangNews.com