Sektor sedang membangun Malaysia jadi tarikan pelabur Jepun  | DagangNews Skip to main content

Sektor sedang membangun Malaysia jadi tarikan pelabur Jepun 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Tidak dinafikan sektor elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang terbesar pelaburan Jepun ke Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini.

 

Namun, seiring perubahan landskap ekonomi terutama ketika COVID-19, pelabur Jepun semakin tertarik dengan sektor-sektor sedang membangun yang baharu di Malaysia. 

 

Menurut Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi, sektor-sektor seperti pengeluaran peranti perubatan, perkhidmatan perubatan dan industri Halal di Malaysia menawarkan peluang baharu kepada pelabur di negara matahari terbit itu untuk mengintai pelaburan ke dalam negara.

 

Oka Hiroshi
Oka Hiroshi

 

“Melihat kepada sejarah kerjasama perniagaan antara Jepun dan Malaysia, sektor E&E sentiasa menerajui pergerakan data pelaburan ke dalam Malaysia. 

 

“Dalam masa sama, kita melihat persekitaran perniagaan global juga berubah, maka pelabur bukan sahaja melihat pada sektor E&E, malah mereka mencari peluang dalam sektor-sektor sedang membangun di Malaysia,” kata Hiroshi dalam sidang akhbar selepas majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara SIRIM Berhad dan Hitachi Asia Sdn. Bhd. yang berlangsung secara maya hari ini. 

 

SIRIM diwakili oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Hitachi Asia diwakili oleh Pengarah Urusan, Chew Huat Seng. 

 

sirim-hitachi
AHMAD FADZIL MOHAMAD HANI (dua dari kiri), Ahmad Tajuddin Ali (tengah) dan Chew Huat Seng (dua dari kanan) ketika majlis tandatangan MoU antara SIRIM dan Hitachi Asia secara maya hari ini.

 

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Hiroshi dan Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

 

Baca : SIRIM, Hitachi Asia pacu PKS industri pembuatan 'berpindah' ke IR4.0

 

Tambah Hiroshi, walaupun wujudnya prospek baharu itu, namun ini tidak bermakna pelaburan Jepun dalam sektor E&E di Malaysia akan berubah dengan ketara.

 

Ini memandangkan terdapat banyak kilang pembuatan yang stabil dari negara itu di Malaysia, kata Hiroshi. 

 

Beliau dalam pada itu positif terhadap prospek perdagangan antara kedua-dua negara, namun menasihati Jepun dan Malaysia untuk memperkukuh aspek rantaian bekalan terutama ketika pandemik COVID-19.

 

“Salah satu cara untuk memperkukuhkannya adalah untuk mempelbagaikan asas pengeluaran yang tidak hanya tertumpu pada satu bahagian pengeluaran. 

 

“Kedua adalah menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Walaupun ini akan mewujudkan persaingan dalam pasaran, tetapi saya pasti ekonomi Malaysia akan terus menerima manfaat terutamanya dengan menghasilkan produk berteknologi tinggi dan memperkenalkan teknologi digital dalam proses pembuatan,” tambah beliau. 

 

Katanya, Jepun merupakan rakan perdagangan keempat terbesar di Malaysia dan penyumbang pelaburan terbesar pada tahun lalu. 

 

Dalam pada itu, berucap pada majlis MoU berkenaan, Ahmad Tajuddin berkata, perdagangan antara Malaysia dan Jepun dalam barangan pembuatan seperti produk E&E, bahan dan produk kimia, mesin, peralatan dan bahagian, plastik dan getah bernilai RM128 bilion pada tahun 2019.

 

Ahmad Tajuddin
Ahmad Tajuddin

 

“Menerusi Dasar Pandang Ke Timur 2.0, Kerjasama Malaysia-Jepun dalam Pembuatan Pintar telah dilancarkan pada 2 Mei 2019 oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan (MITI) dan Perindustrian Ekonomi, Jepun. 

 

“SIRIM sebagai agensi pelaksana bagi program berkenaan telah mengadakan beberapa seminar berkaitan penggunaan pembuatan pintar dalam industri.

 

“Melalui program seperti ini, pemindahan teknologi, peningkatan dan penyelesaian teknologi atau teknikal Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) diharap akan dilaksanakan dengan syarikat Jepun,” katanya. - DagangNews.com