Sektor semikonduktor negara terus jadi perhatian, bekalan cip dapat permintaan kukuh | DagangNews Skip to main content

Sektor semikonduktor negara terus jadi perhatian, bekalan cip dapat permintaan kukuh

Sektor semikonduktor

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Permintaan yang kukuh terhadap bekalan cip khususnya di peringkat global menjadikan sektor semikonduktor di negara ini terus mendapat perhatian.

 

TA Securities Research berkata, situasi berkenaan disokong oleh perkembangan pantas pendigitalan di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang menjadi pemangkin kepada pengukuhan sektor berkenaan.

 

Jelas nota kajian itu lagi, situasi berkenaan turut disokong oleh pertumbuhan teknologi baharu seperti 5G, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, Internet Kebendaan (IoT) dan robotik.

 

"Penjualan semikonduktor global pada Jun terus meningkat 2.1% bulan ke bulan atau 29.2% tahun ke tahun kepada AS$44.5 bilion (RM188.15 bilion).

 

"Separuh pertama 2021 juga menyaksikan jualan semikonduktor meningkat 23.5% tahun ke tahun kepada AS$256.9 bilion (RM1.09 trilion)," jelas TA Securities Research seperti dilapor Berita Harian.

 

Dalam nota kajian yang sama, TA Securities Research memberitahu, prestasi jualan yang dicatatkan itu mendekatkan kemungkinan untuk mencapai sasaran statistik perdagangan semikonduktor dunia bagi penjualan semikonduktor sebanyak AS$527.2 bilion (RM2.23 trilion).

 

Sasaran berkenaan adalah 19.7% lebih tinggi berbanding 2020 pada tahun ini. 

 

Bagi rekod tempahan pula, sektor berkenaan mencatatkan tempahan tertinggi pada Jun sebanyak 2.3% (bulan ke bulan) atau 58.4% tahun ke tahun kepada AS$3.67 bilion (RM15.52 bilion).

 

Secara keseluruhannya, tempahan pada separuh pertama meningkat 45.2% kepada AS$20.14 bilion (RM85.15 bilion). - DagangNews.com