KUALA LUMPUR 6 Jun - Sektor teknologi diunjur berdepan anjakan positif didorong pemulihan permintaan semikonduktor global dan peningkatan peluang perdaganagan dipacu oleh strategi China+1.
TA Securities berkata, Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) juga meramalkan pertumbuhan dua angka dalam jualan semikonduktor untuk 2024.
"Sementara itu, inisiatif terbaharu kerajaan daripada Strategi Semikonduktor Kebangsaan, termasuk sokongan fiskal sekurang-kurangnya insentif sebanyak RM25 bilion dijangka terus meningkatkan sentimen semikonduktor tempatan.
"Selain itu, ia akan menggalakkan pemain industri mempercepatkan usaha peningkatan kemahiran mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pada suku pertama tahun ini, syarikat-syarikat di bawah liputan mereka melaporkan hasil yang bercampur-campur dengan Rexit Bhd melaporkan keputusan melebihi jangkaan disebabkan disokong jumlah jualan lebih tinggi daripada jangkaan daripada perkakasan dan perisian sistem.
Malaysian Pacific Industries Bhd, Coraza Integrated Technology Berhad dan Elsoft Research Bhd bagaimanapun melaporkan keputusan di bawah jangkaan.
Kekecewaan pendapatan MPI sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah merentas segmen pengguna dan komersial manakala pendapatan Elsoft adalah kesan daripada permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan untuk peralatan ujian automatik.
"Coraza pula berdepan penangguhan pesanan daripada pelanggan utama," katanya.
TA Securities mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu berdasarkan kepada pemulihan permintaan serta peningkatan peluang aripada lencongan perdagangan dan berakhirnya potensi berakhirnya kitaran kenaikan kadar di Amerika Syarikat (AS).
"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Inari Amertron Bhd (TP: RM4.30), Coraza (TP: 69 sen) dan Rexit (TP: RM1.26). - DagangNews.com