Sektor teknologi kekal mencabar pada suku keempat disebabkan permintaan lemah - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sektor teknologi kekal mencabar pada suku keempat disebabkan permintaan lemah - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Dis - Sektor teknologi dijangka berdepan satu lagi suku yang kurang memberangsangkan ekoran permintaan lemah masih berterusan, demikian menurut RHB Investment Bank. 

 

Penganalisisnya, Lee Meng Hong berkata, sebarang pembetulan inventori hanya diunjur kembali normal pada suku kedua 2023, tetapi pertumbuhan dalam subsegmen tertentu terus dikekalkan.

 

Katanya, panduan daripada syarikat berkaitan cip kurang yakin untuk jangka masa terdekat, tetapi pemain bukan semikonduktor harus melihat prospek yang lebih cerah dengan cabaran utama ialah kekurangan buruh dan bahan mentah, ketidaktentuan permintaan dan ketegangan geopolitik.

 

"Secara keseluruhan, sektor ini masih diselubungi oleh permintaan yang semakin lemah untuk produk pengguna memandangkan orang ramai telah terjejas oleh inflasi yang meningkat dan berleluasa, ketegangan geopolitik, impak sekatan pergerakan di China dan kelemahan di Eropah.

 

"Namun, terdapat beberapa peluang yang lebih baik pada elektrifikasi kenderaan, pelayan dan cip berprestasi tinggi berkaitan pengkomputeran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku ketiga, RHB Investment mendapati keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 5.6% tahun ke tahun tetapi susut 2.6% suku ke suku, dengan lima daripada lapan syarikat di bawah liputannya merekodkan pertumbuhan yang kukuh. 

 

Datasonic Group Bhd. dan CTOS Digital Bhd. yang mencatat prestasi kukuh, mengimbangi kelemahan daripada pemain penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT). 

 

Meng Hong mengurangkan unjuran hasil sebanyak 5% bagi sektor teknologi terutamanya semakan semula terhadap Inari Amertron Bhd. dan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI).

 

"Ini kerana kami menjangkakan kelemahan akan berterusan pada suku keempat ini, memandangkan sektor itu berkemungkinan akan terus bergelut dengan permintaan yang semakin berkurangan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor teknologi dengan pilihan utamanya ialah CTOS Digital dan Coraza Integrated Technology. 

 

"Kami menyukai syarikat yang terdedah kepada pemain hadapan, automotif dan pengkomputeran berprestasi tinggi, kerana pandangan mereka kekal secara relatif stabil," katanya. - DagangNews.com