Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan memindahkan mangsa yang terkandas di lokasi banjir di seluruh negara ke tempat selamat.
Katanya, tindakan itu adalah penting kerana bimbang kawasan terlibat akan menjadi lebih teruk dan membahayakan nyawa mangsa.
BERITA BERKAITAN: Amaran hujan `sangat lebat' diramal di Perak, Selangor, Pahang pada 19 Disember 2021
"Kita sudah gerakan semua aset. Perkara paling utama sekarang ialah menyelamatkan mangsa dan berikan bantuan makanan.
"Bantuan lain seperti kewangan dan sebagainya akan diuruskan kemudian. Mangsa banjir jangan bimbang, kita akan segera selesaikan masalah ini," katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen tengah malam tadi.
Ismail Sabri berkata, keadaan di Selangor ketika ini agak kelam kabut kerana jarang terlibat dengan situasi banjir seperti itu berbanding negeri-negeri terlibat seperti Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.
Beliau berkata, keadaan di Selangor agak mengejutkan kerana keadaan seperti banjir kilat namun kerajaan sudah membuka 45 pusat pemindahan sementara (PPS) dan memindahkan lebih 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga.
"Saya telah menghubungi Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk meminta agar lebih ramai anggota serta aset digerakkan segera selain IGP (Ketua Polis Negara) untuk menambah lebih ramai anggota di Selangor.
"NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan menghantar bantuan makan segera ke PPS dan bantuan lain akan diuruskan kemudian.
"Mangsa banjir juga dinasihatkan untuk berhati-hati dan menjaga anak masing-masing kerana keadaan banjir ini kita tidak tahu sedalam mana atau sederas mana airnya," katanya.
Setakat 11 malam semalam, sebanyak 188 PPS sudah dibuka di enam negeri termasuk Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan melibatkan 11,384 individu daripada 4,500 keluarga.
Buat masa sekarang sebanyak 5,731 PPS tersedia di seluruh negara yang mampu menempatkan 1,628,512 mangsa.
Orang ramai yang terkesan dengan situasi banjir diminta segera untuk menghubungi NADMA di talian 03-80642400.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri turut meninjau beberapa kawasan yang dilanda banjir di Klang dan bertemu dengan mangsa-mangsa banjir. -DagangNews.com