Selangor jual vaksin: 3,500 syarikat sudah berdaftar | DagangNews Skip to main content

Selangor jual vaksin: 3,500 syarikat sudah berdaftar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerajaan negeri Selangor telah menempah sehingga 2.5 juta dos vaksin COVID-19, yang antaranya akan dijual kepada majikan di negeri itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud.

 

Bagaimanapun, katanya, harga serta maklumat lanjut berhubung vaksin berkenaan dijangka diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari seawal hujung minggu ini. 

 

Ujarnya lanjut, urusan bagi perolehan vaksin yang dipertanggungjawabkan kepada Selgate Corporation Sdn. Bhd.  kini telah mencapai peringkat akhir dan program vaksinasi dijangka bermula Jun 2021. 

 

“Melalui pendaftaran (dengan Selgate), hampir 1 juta pekerja dan 3,500 buat syarikat menyatakan minat untuk membeli vaksin itu. Ada soalan tempoh hari di (laman web) Selangkah mengenai deposit 50%, kami perlu letak begitu kerana ini adalah komitmen. 

 

Siti Mariah Mahmud
Siti Mariah Mahmud

 

“Pihak industri tidak boleh tunggu lama untuk mendapatkan vaksin (menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan), itulah sebab kenapa kerajaan negeri perlu dapatkan vaksin bagi tujuan ini. 

 

“Ada sebahagian besar (vaksin) akan diberikan secara percuma kepada golongan berkeperluan dan kami sudah menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, siapakah yang patut menerima vaksin ini dahulu, banyak cadangan yang kerajaan negeri Selangor akan pertimbangkan berdasarkan fakta,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini. 

 

Turut hadir, bekas Menteri Kesihatan dan Pengerusi Selangor Task Force COVID-19 (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. 

 

Tambah Mariah, kerajaan negeri juga dijangka tidak berhadapan isu kelulusan vaksin oleh kerajaan pusat kerana vaksin yang diperoleh telah diperakui oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), iaitu sama ada Pfizer-BioNtech, Sinovac mahupun AstraZeneca. 

 

Katanya, setakat ini, hanya 207,000 penduduk Selangor telah disuntik vaksin COVID-19 dengan angkanya tidak mencapai 5%, di mana lebih rendah daripada Kuala Lumpur, Labuan, Melaka dan Pahang. 

 

“Selangor perlu beri perhatian kepada kumpulan yang sangat penting iaitu golongan pekerja. Semua tahu bahawa Selangor sangat bergantung kepada kilang-kilang industri yang menyumbang 20% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. 

 

“Oleh itu, kerajaan negeri Selangor mengambil inisiatif ini kerana kita tahu bahawa majikan sanggup membeli vaksin ekoran impak penularan di kilang lebih banyak mendatangkan kerugian,” katanya lanjut. 

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan PKP secara menyeluruh, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk melaksanakannya seperti mana penguatkuasaan pada Mac tahun lalu, tegas beliau.

 

Ini susulan langkah itu akan menjejaskan golongan pekerja dan terutamanya perniagaan kecil, sebaliknya beliau menggesa kerajaan pusat untuk mewujudkan strategi atau instrumen yang lebih berkesan bagi melawan penularan COVID-19.

 

Beliau membayangkan penguatkuasaan itu hanya membendung penularan COVID-19 untuk tempoh sementara, dan seterusnya trend sama dijangka berulang semula.

 

“Tapi, kalau diarahkan untuk lockdown, maka kami akan patuh, tapi tentulah akan memperincikan apa perkara yang perlu dilihat,” katanya lanjut. - DagangNews.com