Selangor kaji saringan COVID-19 rumah ke rumah, kata MB | DagangNews Skip to main content

Selangor kaji saringan COVID-19 rumah ke rumah, kata MB

Gambar Reuters

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Selangor mungkin melaksanakan ujian saringan COVID-19 dari rumah ke rumah di negeri ini. 

 

Ini selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mempertimbangkan pelaksanaan tersebut. 

 

Namun, pelaksanaan itu akan bergantung kepada jumlah anggota sukarelawan kerana ia memerlukan pasukan yang ramai, katanya.

 

Amirudin Shari
Amirudin Shari

 

"Jika mahu lakukan ujian dari rumah ke rumah, kita memerlukan pasukan yang lebih besar,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin, menurut laporan Bernama. 

 

Sebelum ini, Selangor juga melaksanakan ujian saringan COVID-19 besar-besaran secara percuma kepada penduduk di negeri ini. 

 

Dalam pada itu, kerajaan negeri dijangka melaksanakan program vaksinasi sendiri iaitu ‘Selgate’ menjelang bulan hadapan.

 

Ini susulan Selangor berhasrat untuk membeli vaksin sendiri yang antaranya mungkin diberi percuma kepada golongan yang memerlukan dan dijual kepada perniagaan-perniagaan. 

 

Setakat 19 Mei, kerajaan negeri mendedahkan bahawa Selangor telah menempah 2.5 juta dos vaksin COVID-19 dengan sebanyak 3,500 syarikat sudah berdaftar.

 

Sebagai rekod, Selangor mencatatkan kes COVID-19 harian tertinggi di Malaysia dengan 2,049 kes setakat 24 Mei 2021. 

 

Bagi tempoh sama, Malaysia menyaksikan kes jangkitan COVID-19 harian menyusut kepada 6,509 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 518,600. - DagangNews.com