Semak semua maklumat sebelum membeli secara dalam talian, elak jadi mangsa penipuan - PM | DagangNews Skip to main content

Semak semua maklumat sebelum membeli secara dalam talian, elak jadi mangsa penipuan - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai menyemak semua maklumat berkaitan sebelum menjalankan urusan pembelian secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

 

Beliau berkata, pengguna perlu mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat daripada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan  Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum melakukan sebarang urusan pembelian sekiranya berasa ragu-ragu.

 

Katanya, pastikan setiap transaksi urus niaga mempunyai bukti dan dokumen bertulis seperti resit, invois atau perjanjian untuk memudahkan siasatan dan tindakan selanjutnya.

 

"Dapatkan maklumat mengenai fungsi, peranan kementerian dan operasi-operasi yang telah dilaksanakan melalui laman web rasmi, Facebook, Twitter dan risalah-risalah sebagai panduan kepada semua pengguna.

 

"Kemuka aduan dengan segera menggunakan saluran aduan yang ada jika merasa diri telah ditipu," katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 dengan tema Digitalisasi Pengguna di Nu Sentral, hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Rosol Wahid.

 

pm

 

Ismail Sabri berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, pembelian pengguna lebih terarah kepada urusan secara dalam talian dan sehingga akhir bulan lalu, KPDNHEP menerima 36.45% atau 24,150 aduan berkaitan transasksi secara dalam talian.

 

Beliau berkata, perkara itu memberi gambaran bahawa pengguna sedar tentang hak mereka dengan menyalurkan aduan sekiranya berlaku sebarang salah laku oleh peniaga.

 

pm

 

"Bagi memperkasakan digitalisasi pengguna, kerajaan membangunkan aplikasi ezAdu pada 2015 dan ditambah baik pada tahun lalu bagi membolehkan pengadu menyalurkan aduan serta merta melalui telefon pintar masing-masing," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan ingin melahirkan pengguna yang bijak serta peniaga yang beretika dan atas dasar itu KPDNHEP telah merangka pelbagai program kepenggunaan terutama aspek literasi kewangan, keputusan membeli dan ganti rugi.

 

"Saya mengharapkan agar semua pihak dapat menghayati dan mempraktikkan hak-hak sebagai seorang pengguna dalam menjalankan urus niaga seharian selain tidak mudah terpedaya dengan helah dan penipuan peniaga yang tidak beretika," katanya. - DagangNews.com