Semakan semula cukai dan rasionalisasi bahan api, kadar inflasi utama diunjur meningkat kepada 3.3% tahun ini - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Semakan semula cukai dan rasionalisasi bahan api, kadar inflasi utama diunjur meningkat kepada 3.3% tahun ini - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - RHB Investment mengunjurkan kadar inflasi utama negara meningkat kepada 3.3% pada tahun ini berbanding anggaran 2.6% pada 2023.

 

Katanya, unjuran itu adalah berdasarkan semakan semula cukai perkhidmatan dan rasionalisasi bahan api selain pergerakan harga komoditi serta peningkatan tekanan dari segi permintaan.  

 

"Risiko inflasi di Malaysia dikawal oleh harga makanan yang stabil (sebahagiannya disebabkan oleh pemberian subsidi makanan dan pelepasan stok penimbal).

 

"Ketidakpastian harga pengguna juga diterajui oleh pergerakan dasar, terutamanya garis masa pelaksanaan sebenar dan pelarasan harga bahan api untuk diesel pada suku kedua 2024 dan RON95 pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu melihat isyarat berterusan untuk harga pengguna ASEAN meningkat lebih tinggi pada suku pertama tahun ini.

 

Katanya, inflasi di rantau ASEAN disebabkan oleh tarikan permintaan yang lebih kukuh, cuaca buruk dan keadaan geopolitik, serta pemulihan ekonomi China.

 

RHB Investment yakin mengenai pertumbuhan ekonomi global pada 2024 didorong beberapa pemangkin termasuk normalisasi kadar yang dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini selain potensi pemulihan ekonomi China.

 

Katanya, harga komoditi yang lebih tinggi adalah disebabkan pemulihan ekonomi China, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2023 meningkat 1.3% dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Malaysia, Vietnam, Singapura dan Thailand berkemungkinan mengalami peluang perdagangan dan pelancongan yang lebih baik, terutamanya dalam perdagangan elektrik dan elektronik (E&E), berikutan momentum ekonomi China yang pulih pada 2024.

"Kesan limpahan positif ke atas pertumbuhan ASEAN melalui mekanisme pelancongan dan eksport mengukuhkan pandangan kami terhadap inflasi yang diterajui permintaan di ASEAN," katanya. - DagangNews.com