KUALA LUMPUR 21 Feb - Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion yang dilancarkan Perdana Menteri semalam, akan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kekurangan wang tetapi memiliki prospek perniagaan yang baik, untuk bangkit semula dan bersedia untuk pemulihan.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Datuk William Ng berkata, kira-kira separuh daripada peruntukan inisiatif yang diumumkan adalah dalam bentuk jaminan sebagai ganti cagaran.
Menurutnya, ia berguna untuk PKS yang telah terjejas teruk disebabkan oleh pandemik COVID-19 kerana kebanyakan peniaga telah menjual aset mereka untuk membayar gaji dan pembekal, dan ini akan menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pembiayaan tanpa sebarang aset untuk dicagarkan.
Ng turut menegaskan bahawa yuran jaminan hendaklah dikekalkan serendah mungkin agar peniaga terus bangkit dan berdaya maju.
''Dua langkah yang patut dipuji adalah moratorium tanpa faedah terbina dalam dan pembiayaan ekuiti," beliau memberitahu DagangNews.
ARTIKEL BERKAITAN: SemarakNiaga: SME Bank tawar pinjaman sehingga RM10 juta - PM
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan inisiatif SemarakNiaga untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
SemarakNiaga bertujuan membina keupayaan dan daya saing sektor perniagaan melalui, antara lainnya, akses kepada pembiayaan dan pinjaman mudah; pembiayaan ekuiti serta jaminan pembiayaan.
"Ini adalah langkah berani Kementerian Kewangan, dan seharusnya menjadi pelopor kepada peralihan daripada pembiayaan yang diterajui oleh pengawal selia kepada pembiayaan yang diterajui pasaran - membenarkan bank dan rakan kongsi pembiayaan lain seperti pengendali platform pembiayaan digital rakan setara (P2P) untuk lebih berdikari untuk menentukan produk pembiayaan untuk mencerminkan pasaran dengan lebih baik.
Memberikan contoh, Ng berkata PKS mahukan pembiayaan yang cepat dan murah sekarang - kerana kebanyakan modal yang diperlukan adalah untuk kelangsungan hidup, dan bukannya tertumpu kepada pertumbuhan perniagaan.
SemarakNiaga menyediakan peruntukan terbesar bagi PKS Mikro berbanding tahun-tahun lepas iaitu sebanyak RM1.8 bilion bagi Pinjaman Kredit Mikro dan turut memberi Kemudahan dan solusi inovatif yang diperkenalkan buat julung kalinya dalam Bajet 2022 iaitu Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion.
SemarakNiaga turut memperuntukkan pinjaman Mudah PKS dengan dana keseluruhan bernilai RM14.2 bilion disediakan dan Jaminan Pembiayaan bernilai RM22.0 bilion termasuk RM2.0 bilion khusus untuk syarikat Bumiputera.
Sementara itu, kerajaan telah mengambil langkah responsif dan proaktif melalui pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, serta Bajet 2021 berjumlah RM322.5 bilion, untuk menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kelangsungan perniagaan, dan daya ketahanan ekonomi dalam menangani krisis. - DagangNews.com