KUALA LUMPUR 25 Feb - Kerajaan digesa mengurangkan had pinjaman kepada usahawan yang memohon bagi mendapatkan skim pembiayaan yang diperuntukkan dalam inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga).
Prof Emeritus, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Barjoyai Bardai berkata, dengan mengurangkan kadar atau had pinjaman, lebih ramai usahawan berpeluang mendapat pembiayaan dari skim ini.
Beliau berkata, SemarakNiaga ini adalah satu usaha yang baik tetapi sudah tentu beberapa persoalan adalah had pinjaman.
“Jika kerajaan mengehadkan jumlah pinjaman terlalu tinggi seperti RM10 juta contohnya, maka walaupun mereka menyediakan RM40 bilion, jika hadnya RM10 juta, hanya 400 orang sahaja yang akan mendapat pinjaman.
“Jadi mereka sepatutnya mengehadkannya kepada apa yang kita panggil sebagai modal syarikat permulaan, mungkin maksimum RM100,000, supaya lebih ramai lagi perniagaan mikro dan PKS akan mendapat akses kepadanya,” kata beliau kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau diminta mengulas tentang initiatif SemarakNiaga, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob pada Isnin.
Inisiatif ini adalah di antara komitmen kerajaan untuk membantu perniagaan bangkit semula serta membina keupayaan dan daya saing mereka berikutan pandemik COVID-19 terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Perdana Menteri dilaporkan berkata, melalui Bajet 2022, sebanyak RM40 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini yang merangkumi pelbagai bentuk pinjaman termasuklah suntikan ekuiti.
Dari jumlah keseluruhan RM40 bilion, RM1.8 bilion diperuntukkan bagi Pinjaman Kredit Mikro, Pembiayaan Ekuiti/ Alternatif bernilai RM2.2 bilion; Pinjaman Mudah bagi PKS berjumlah RM14.2 bilion; serta Jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22.0 bilion.
Dr Barjoyai berkata, SemarakNiaga adalah skim yang sebenarnya untuk menggalakkan pembangunan perniagaan mikro dan industri kecil dan sederhana.
“Kita cuba mencapai beberapa matlamat pada masa yang sama, untuk keselamatan serta peningkatan pendapatan isi rumah secara keseluruhan,” kata beliau.
Namun, cara kerajaan menanganinya diputuskan mereka membelanjakan RM40 bilion dalam bentuk beberapa pelaburan ekuiti, geran sepadan atau pelaburan sepadan di bawah skim baharu yang dipanggil crowdfunding,” tambah beliau. – DagangNews.com