SemarakNiaga: Kerajaan disaran wujudkan lebih banyak pasar setempat di luar bandar | DagangNews Skip to main content

SemarakNiaga: Kerajaan disaran wujudkan lebih banyak pasar setempat di luar bandar

Tempat berniaga seperti tamu atau pusat jualan di kampung-kampung, sudah pasti akan merancakkan ekonomi.
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 23 Feb – Kerajaan disaran mewujudkan lebih banyak pasar setempat yang mudah dicapai oleh warga kampung terutamanya di kawasan luar bandar, khususnya di Sabah untuk menjaja dan membeli barang.

 

Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan Dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Cyril Supain @ Christopher berkata, pasaran seumpamanya akan pasti dapat membantu para pengusaha kecil di kampung-kampung terutama kawasan pendalaman yang sukar untuk memasarkan hasil pertanian mereka.

 

“Dengan adanya tempat berniaga seperti tamu atau pusat jualan di kampung-kampung, sudah pasti akan merancakkan ekonomi dengan kehadiran pemborong yang membeli secara pukal hasil usaha atau tanaman orang kampung.

 

“Ini lebih memudahkan mereka terutamanya di kawasan pedalaman dalam menjana pendapatan lebih stabil,” katanya kepada DagangNews.com hari ini sebagai mengulas program SemarakNiaga yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

 

Dalam konteks ini, Cyril berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk memulihkan ekonomi Sabah yang jatuh merundum akibat pandemik Covid-19.

 

Menurutnya, ini kerana tanggungjawab membantu dan tindakan penyelesaian itu hanya dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak berkemampuan.

 

‘’Harus diakui, kerencatan perkembangan ekonomi terhenti secara mendadak sejak penularan wabak COVID-19.

 

‘’Masalah itu semakin parah dengan kenaikan rata-rata harga barang sehingga menyebabkan inflasi,’’ ujar beliau.


 

Cyril Supain @ Christopher
                                   Cyril Supain @ Christopher

 


Menurut Cyril, warga Sabah yang berpendapatan rendah sudah pasti amat merasai bebannya.

 

Bukan setakat itu, mereka yang berpendapatan pertengahan atau (M40) juga turut terasa kesannya disebabkan kebergantungan kepada hanya satu sumber ekonomi saja.

 

“Perkara asas yang perlu dilakukan terutamanya kerajaan dan pihak yang terlibat ialah mencari jalan untuk menstabilkan harga barangan di pasaran,”

 

Cyril berkata, sebaik mengenal pasti punca sebenar penyebab kepada kenaikan harga barang, mereka perlu mencari jalan tuntas secara kreatif dan inovatif bagi mengatasinya.

 

“Sebagai contoh harga ayam dan telur ayam. Kita percaya kenaikan harga ayam disebabkan harga dedak (makanan ayam) yang tinggi ekoran ia perlu diimport.

 

“Maka kerajaan atau pihak berkaitan perlu mempertimbangkan untuk menghasilkan dedak sendiri dengan menggunakan sumber yang ada di Sabah,” katanya.


 

PM


Selain itu Cyril berkata, kerajaan juga perlu berusaha untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan peniaga untuk terus membeli serta berniaga sama ada secara maya atau fizikal dengan mengawal penyebaran virus COVID-19 Omicron ketika ini.

 

Katanya, dengan adanya jaminan dari kerajaan  dan keyakinan dalam kalangan pengguna dan peniaga, maka ‘Demand’ (permintaan) tetap akan wujud dan sekaligus merancakkan semula ekonomi.

 

“Program-program yang lebih rancak untuk membasmi virus ini juga harus dipergiatkan lagi dalam kalangan masyarakat.

 

“Dan sudah pasti semua program ini harus melibatkan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemimpin setempat dan masyarakat sendiri,” katanya.

 

Cyril berkata, ia sesuatu yang boleh difikirkan berikutan keadaan beberapa aktiviti ekonomi kini yang semakin beransur pulih seperti industri pelancongan dan perhotelan, pertanian, perikanan, penternakan dan lain-lain. – DagangNews.com