KUALA LUMPUR 22 Feb – Kerajaan telah mengambil langkah yang terbaik untuk menyokong perniagaan tempatan di bawah program SemarakNiaga memandangkan ekonomi negara ini sedang menuju ke mod pemulihan, Ketua Ahli Ekonomi Global, Juwai IQI, Shan Saeed.
Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah tulang belakang ekonomi, menyediakan pekerjaan dan menyumbang kepada prospek ekonomi.
“Inisiatif ini akan menyokong PKS tempatan untuk memulakan perniagaan mereka dan lebih-lebih lagi memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Kerajaan sedia memberi sokongan.
“Sementara itu, bagi syarikat tersenarai awam akan mendapat sokongan kecairan yang penting untuk mengembangkan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Shan berkata demikian ketika mengulas tentang inisiatif kerajaan melancarkan Program SemarakNiaga bagi membantu usahawan negara ini.
Program tersebut akan menyediakan skim pembiayaan merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk memanfaatkan setiap usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin melancarkan Program SemarakNiaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion untuk dimanfaatkan oleh golongan usahawan negara ini.
Menurut Perdana Menteri, program itu merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti terutama untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal.
Setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, beliau berkata tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula atau reform.
Menurut Shan, gambaran yang lebih besar atau makro kelihatan lebih cerah apabila ekonomi telah dibuka, corak penggunaan semakin kukuh dan vaksinasi yang berjaya membawa pelabur kembali ke pasaran.
“Dengan harga minyak yang lebih tinggi, ia memberi ruang kepada Kerajaan untuk mengembangkan bahagian fiskal kunci kira-kira.
“Dasar monetari yang berkesan telah diperkukuh yang merupakan ciri kestabilan struktur kepada Ringgit. Keyakinan pasaran mendapat rangsangan secara umum. Ia menjangkakan saiz KDNK Malaysia mencecah RM350 bilion pada 2022,” ujar beliau. – DagangNews.com