Sembilan persepuluh (9/10) rezeki dalam perniagaan? | DagangNews Skip to main content

Sembilan persepuluh (9/10) rezeki dalam perniagaan?

Gambar hiasan oleh Nur Athirah Hamzah
Oleh Dr Ahmad Sabri Osman

PERNIAGAAN merupakan suatu istilah yang sentiasa bermain di bibir manusia dan bidang pekerjaan yang sangat popular.

 

Kita biasa mendengar orang menyebutkan kalimat berikut: “jika mahu jadi orang kaya, berniagalah”; “pertanian adalah perniagaan”, “the creation of business begins with crazy ideas” (penciptaan sesuatu perniagaan itu bermula dengan idea yang gila) dan sebagainya.

 

Jika kena caranya, perniagaan mampu menjadikan seseorang itu kaya-raya, namun sebaliknya, perniagaan juga mampu menjadikan seseorang itu bankrap atau muflis.

 

Jika dilihat kepada individu paling kaya di dunia, mereka merupakan peniaga yang sangat berjaya.

 

Menurut majalah perniagaan popular iaitu Forbes 2023, individu paling kaya di dunia ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat gergasi Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH) iaitu Bernard Arnault dari Perancis dengan nilai kekayaan berjumlah RM907 bilion, kemudian diikuti oleh CEO Tesla, Elon Musk dari Amerika Syarikat (RM632 bilion).


 

Bernard Arnault
Individu paling kaya di dunia ialah Bernard Arnault, CEO syarikat gergasi Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH) 

 


Seterusnya Pengasas Adani Group, Gautam Adani dari India (RM556 bilion) yang memiliki 6 syarikat gergasi India di bawah pemilikannya. Menduduki tangga keempat ialah pemilik syarikat e-dagang gergasi  Amazon, Jeff Bezos juga dari Amerika Syarikat (RM535 bilion).

 

Seterusnya Larry Ellison (RM478 bilion), juga dari Amerika Syarikat yang merupakan pengasas kepada Oracle, syarikat perisian kedua terbesar di dunia yang menawarkan pelbagai program pengkomputeran termasuk Java, kod Linux dan platform pengkomputeran Oracle Exadata.

 

Kemudian Warren Buffet juga dari Amerika Syarikat yang merupakan Pengarah Eksekutif bagi syarikat Berkshire Hathaway (RM478 bilion).


 

bill gates
                BILL GATES

 


Sinonim dengan jenama perisian komputer terbesar dunia iaitu Microsoft, Bill Gates tercatat sebagai orang ketujuh terkaya dunia (RM449 bilion) dan pernah menjadi individu paling kaya di dunia suatu ketika dahulu.

 

Berdasarkan kedudukan 50 orang terkaya di Malaysia pada tahun 2023, individu paling kaya ialah Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, pengasas Kuok Group yang berpangkalan di Hong Kong. Beliau kekal mengungguli kedudukan individu paling kaya selama beberapa tahun.

 

Umat Islam juga berasa bangga kerana terdapat tiga individu Melayu Islam tersenarai dalam ranking tersebut. Mereka ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Tan Sri Azman Hashim.


 

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

 


Sehubungan dengan itu, terbuktilah bahawa perniagaan merupakan pekerjaan yang menyumbang kepada kekayaan.

 

Dengan kata lain, kekayaan dan perniagaan merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan sebagaimana kata pepatah Melayu “ibarat aur dengan tebing” atau “ibarat isi dengan kuku”. Namun, ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang bukan sedikit. 

 

Perniagaan sangat penting dalam Islam. Ia merupakan mekanisme untuk manusia mendapatkan harta dan barangan yang diingini.

 

Istilah perniagaan berasal daripada Bahasa Latin iaitu “negotium”. Dari segi bahasa, ia bererti pertukaran barang dengan barang atau pertukaran barang dengan perkhidmatan.

 

Dari segi istilah, Sayyid Sabiq, menjelaskan bahawa perniagaan sebagai suatu proses pertukaran harta dengan harta di atas persetujuan penjual dan pembeli mengikut cara-cara yang diizinkan Syarak.


 

parafrasa

 


Dalam al-Quran, tiga istilah yang digunakan bagi merujuk kepada perniagaan atau jual beli ialah al-isytira’ / al-syira’, al-bai’ dan al-tijarah. Ia boleh digunakan untuk makna jual dan juga beli.

 

Terdapat lebih kurang 38 ayat yang membicarakan tentang perniagaan dengan pelbagai lafaz samada al-syira’, al-isytira’, al-tijarah atau al-bai’. Maksud yang tersirat di sebalik penggunaan ayat-ayat ini ialah menunjukkan betapa pentingnya urusan jual beli ini kepada manusia.

 

Sirah Rasulullah SAW sendiri menunjukkan kepada umatnya bahawa baginda sendiri telah berniaga semenjak kecil lagi.

 

Semasa berumur 12 tahun, baginda SAW telah mengikuti rombongan perniagaan bapa saudaranya Abu Talib ke Syam. Baginda SAW juga berpengalaman menguruskan perniagaan isterinya iaitu Saidatina Khadijah R.A sehingga memperoleh keuntungan yang besar. Sahabat baginda SAW yang terlibat dengan perniagaan tidak kurang ramainya.

 

Benarkah sembilan persepuluh rezeki dalam perniagaan? Bagi menjawab persoalan tersebut, penulis mendapati terdapat empat hadis dalam laman web hadis dorar.net yang diselia oleh ‘Alawi bin Abd al-Qadir al-Saqqaf iaitu:

 

  1. “Berniagalah kamu kerana padanya terdapat sembilan persepuluh (9/10) punca rezeki”

Al-Muhaddis (tokoh hadis yang memberi komentar terhadap hadis) ialah al-Subki (al-Ibn). Hadis ini terdapat dalam kitab Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra (6/311), tiada perawi yang meriwayatkan hadis ini, justeru hadis ini tiada sanad.

 

  1. “Sembilan persepuluh (9/10) sumber rezeki daripada perniagaan, dan satu persepuluh (1/10) daripada penternakan (lembu)”

Al-Muhaddis ialah al-Albani. Perawi ialah Yahya bin Jabir al-Ta’I dan Nu’aim bin Abd al-Rahman al-Azdi. Hadis ini terdapat dalam kitab Dha’if al-Jami’ (2434). Menurut al-Albani, hadis ini daif.

 

  1. “Sembilan persepuluh (9/10) sumber rezeki daripada perniagaan, dan satu persepuluh (1/10) daripada penternakan (kambing)”

Al-Muhaddis ialah al-Albani. Hadis ini terdapat dalam kitab Al-Silsilah al-Dha’ifah (3402). Menurut al-Albani, hadis ini daif.

 

  1. “Sembilan persepuluh (9/10) sumber rezeki daripada perniagaan”

Nu’aim berkata: satu persepuluh yang baki di dalam penternakan”. Al-Muhaddis ialah al-Hafiz al-Busiri (m. 840H). Hadis ini terdapat dalam kitab Ithaf al-Khayarah al-Maharah (3/275). Menurut al-Busiri, sanad hadis ini daif.


Selain itu, menurut al-Hafiz al-'Iraqi (m. 806H) dalam menganalisis hadis ini yang terdapat dalam kitab Ihya' ‘Ulumiddin karya Imam al Ghazali (m. 505H): "Para perawinya adalah thiqah (dipercayai), namun berlaku kekhilafan di mana Nu'aim bin Abd al-Rahman al-Azdi dikategorikan oleh Abu Hatim al-Razi dan Ibnu Hibban sebagai Tabi'in dan bukan Sahabat, maka hadis ini adalah turun ke peringkat hadis mursal (terputus sanadnya)".


 

parafrasa

 


Menurut Murtadha al-Zabidi (m. 1205H) dalam kitabnya Ithaf al-Sadah al-Muttaqin: "Ia turut diriwayatkan oleh Said bin Mansur dalam Sunannya daripada hadis riwayat Nu'aim bin Abd al-Rahman al-Azdi dan Yahya bin Jabir al-Ta'i secara mursal dengan tambahan di hujungnya iaitu satu persepuluh pula di dalam bidang penternakan sebagaimana hadis di atas.

 

Manakala al-Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami' al-Saghir pula menyatakan hadis yang diriwayatkan daripada Nu'aim bin Abd al-Rahman al-Azdi dan Yahya bin Jabir al-Ta'i secara mursal, namun ia naik ke peringkat hasan iaitu yakni hasan li-ghairih kerana kedua-dua riwayat saling menyokong antara satu sama lain.

 

Justeru, berdasarkan pandangan ulama di atas, penulis berpendapat bahawa hadis tersebut adalah bertaraf daif atau hasan dan tidak salah untuk beramal dengannya terutama dalam meningkatkan motivasi untuk berniaga.

 

Namun, perlu diingat bahawa meskipun sembilan persepuluh rezeki datang daripada sumber perniagaan, maka kadar usahanya juga mesti menyamai kadar tersebut.

 

Selain itu, cabaran dan rintangannya juga adalah sembilan persepuluh. Jika tidak kental menghadapi cabaran, maka carilah pekerjaan lain yang setaraf dengan kemampuan diri sendiri ibarat kata pepatah Melayu “ukur baju di badan sendiri”. – DagangNews.com

 

 

Dr Ahmad Sabri Osman adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Shah Alam