Tony Fernandes semasa Majlis Pelancaran AirAsia Shop di RedStation, KL Sentral semalam.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Negara-negara ASEAN dilihat berpeluang untuk membuka semula sempadan negara mereka dengan berhati-hati susulan situasi wabak COVID-19 yang semakin pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkara itu dinilai untuk tujuan penerbangan antarabangsa selain memulihkan semula perkembangan ekonomi.
"Kalau kita lihat Thailand yang mencatatkan kurang daripada 10 kes jangkitan sehari, Malaysia juga kurang daripada 10 kes sehari. Kedua-dua negara ini sudah berada pada keadaan yang baik mendepani wabak, kenapa kedua-dua negara ini tidak diberi kebenaran pembukaan sempadan atau zon hijau untuk tujuan penerbangan.
"Ia tiada beza dengan penerbangan ke Kota Kinabalu dan Pulau Pinang kerana Pulau Pinang hampir dengan Thailand. Jadi, saya harap kita dapat mengambil langkah yang berhati-hati untuk membuka semula sempadan antarabangsa," katanya kepada media selepas majlis Pelancaran AirAsia Shop di RedStation, KL Sentral semalam.
Tambah beliau, langkah tersebut juga mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk membuat perjalanan ke luar negara di samping mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan.
"Pastinya jika mereka berjalan ke mana mereka mahu, mereka perlu dikuarantin lebih daripada dua hari jika mereka pergi ke zon merah.
"Saya tidak melihat untuk membuka sempadan ke Los Angeles kerana ianya tindakan yang tidak rasional, tetapi wajar untuk negara-negara di ASEAN seperti Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam dan Singapura kerana masing-masing mencatatkan jumlah jangkitan yang sedikit," tambahnya.
Mengakui penularan wabak COVID-19 sukar untuk dihapuskan, beliau turut memberitahu usaha tersebut mungkin boleh dihentikan sekiranya benar-benar mendatangkan risiko dan tidak berjaya.
"COVID-19 ini mengambil masa yang tidak dapat dijangka untuk hilang, tetapi kita cuba untuk dapatkan kembali norma kehidupan dahulu dengan berhati-hati.
"Saya harap dengan adanya zon hijau yang membolehkan pembukaan sempadan itu dapat diteruskan. Dan sekiranya perkara tersebut gagal, kita akan terus hentikan selain mengambil langka-langkah seterusnya," tambahnya lagi. - DagangNews.com