Senai Airport City jual tanah kepada Fiffy bernilai RM23.3 juta | DagangNews Skip to main content

Senai Airport City jual tanah kepada Fiffy bernilai RM23.3 juta

Lakaran grafik menunjukkan pembinaan ibu pejabat dan kemudahan gudang Fiffy yang akan dibina di Senai Airport City

KUALA LUMPUR 5 Dis - Senai Airport City Sdn. Bhd. melupuskan sebidang tanah perindustrian di Senai Airport City (SAC) kepada Fiffy Sdn. Bhd. berkeluasan kira-kira 9.72 ekar untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM23.3 juta.

 

Kedua-dua pihak telah menyelesaikan perjanjian jual beli tanah tersebut pada 30 November lalu.

 

Fiffy, salah satu jenama produk bayi tempatan yang terkemuka dalam pasaran Malaysia, telah memilih Senai Airport City sebagai tapak pilihan untuk ibu pejabat baharunya, beserta kemudahan pengembangan pembuatan dan gudangnya di Johor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fifty, Lee Siew Mui berkata, Fiffy kini mempunyai tiga pusat pengedaran yang membuat pengagihan ke lebih 700 cawangan dan 17 butik di seluruh negara.

 

Katanya, permintaan terhadap e-dagang semakin meningkat selepas pandemik sama ada di peringkat domestik mahupun serantau.

 

"Kami melihat ada keperluan untuk lokasi yang strategik bagi rangkaian pengedaran gudang Fiffy sebagai strategi perniagaan jangka panjang dan kami yakin Senai Airport City adalah pilihan yang tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Senai Airport City ialah pembangunan industri bersepadu yang terancang dengan ketersambungan logistik strategik ke tiga persimpangan utama Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Senai-Desaru dan Lebuhraya Link Kedua.

 

Malah, terdapat dua pelabuhan laut di Johor dan tiga lapangan terbang antarabangsa, yang pastinya akan meningkatkan lagi fleksibiliti operasi Fiffy dalam jangkauan pasaran antarabangsa.

 

Pada 2021, Senai Airport City telah merekodkan jualan tanah berjumlah kira-kira 140 ekar kepada pengguna terkenal seperti Tiong Nam Logistics Sdn. Bhd. dan Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn. Bhd.

 

Kedua-dua syarikat tersebut telah memilih Zon Bebas Senai Airport City untuk menubuhkan hab serantau mereka bagi memberi perkhidmatan kepada wilayah Asia Pasifik dan menyasarkan untuk memulakan operasi pada 2023. - DagangNews.com