Senarai 121 Ahli Parlimen: Bukit Aman panggil Anwar esok | DagangNews Skip to main content

Senarai 121 Ahli Parlimen: Bukit Aman panggil Anwar esok

Anwar Ibrahim

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Selepas penangguhan siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Oktober lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk memanggil semula Presiden PKR itu pada 16 Oktober 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, arahan tersebut adalah untuk mendapatkan keterangan berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

"PDRM masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas di media massa ketika ini. Hingga kini, sebanyak 113 laporan polis telah diterima.

"Sehubungan itu, Anwar telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 16 Oktober 2020 (Jumaat) di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed

 

Pada 12 Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan, Anwar telah diminta untuk hadir memberi keterangan kepada Bukit Aman, namun beliau dimaklumkan tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh berkenaan.

Baca: [DIKEMAS KINI] Polis tunda tarikh Anwar beri keterangan 

Siasatan terhadap kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah Huzir, pihaknya turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan perpecahan berhubung isu berkenaan.

"Bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, PDRM menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan atau khabar angin yang mempunyai kecenderungan suasana tidak harmoni, perpecahan, permusuhan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," tegasnya. - DagangNews.com