Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Trend pasaran saham Malaysia terus mengekori ketidakstabilan politik di negara ini, ditambah kes COVID-19 yang naik mendadak.
Setakat 9.02 pagi, indeks Bursa Malaysia, KLCI merudum 0.21% atau 3.26 mata, mencecah paras 1,519.99.
Rakuten Trade Research melihat KLCI berprestasi tidak menentu ketika didagangkan semalam, dan dijangka meneruskan berada dalam lingkungan indeks yang terhad (consolidate).
Ini didorong oleh potensi perkembangan baharu dalam senario politik Malaysia selain peningkatan kes COVID-19.
“Oleh itu, kami menjangkakan KLCI akan terus didagangkan antara 1,510 hingga 1,530, tanpa penentuan penembusan indeks,” kata Rakuten Trade.
Semalam, kedua-dua ketua parti pembangkang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu disahkan dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, tetapi ditangguh.
Sehari sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Pergolakan politik bertambah runcing apabila UMNO pula mempertimbangkan untuk keluar daripada Perikatan Nasional dan berhasrat meletakkan syarat-syarat bertulis tertentu.
Sementara itu, pasaran saham Asia pula tidak menentu dengan beberapa kecenderungan untuk menurun.
Ini didorong oleh saham Amerika Syarikat yang ditutup lebih rendah ekoran harapan pakej rangsangan mula pudar. - DagangNews.com