Sentimen Belanjawan 2021 tidak lama, KLCI dibuka rendah | DagangNews Skip to main content

Sentimen Belanjawan 2021 tidak lama, KLCI dibuka rendah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - ‘Tempias’ positif daripada kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat dua hari lalu terhadap pergerakan positif pasaran saham di Bursa Malaysia tidak lama. 

 

Setakat 9.04 pagi, KLCI mencecah paras 1,678.58, merosot sedikit sebanyak 2.83 mata atau 0.17% daripada paras yang ditutup semalam, 1,681.41.

 

Kemerosotan yang tidak ketara dalam dagangan hari ini tidak mengejutkan kerana kebanyakan pelabur mungkin mula mengambil keuntungan. 

 

Seperti jangkaan Rakuten Trade Research semalam, keterujaan daripada pembelian lewat sejurus Belanjawan 2021 diluluskan tidak akan lama kerana aktiviti-aktiviti mengambil keuntungan mula wujud. 

 

Pengambilan keuntungan atau profit taking ini berlaku apabila pelabur membeli dengan singkat saham-saham dan kemudiannya dijual apabila harga ekuiti itu melonjak.

 

Sementara itu, pasaran saham Asia bersedia untuk melonjak pada dagangan hari ini berdasarkan perkembangan pakej rangsangan di Amerika Syarikat (AS) yang telah tertangguh sekian lama, menurut Reuters. 

 

Dalam masa sama, dakwaan Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah rendah membantu penanda aras Nasdaq mencatat rekod tertinggi baharu. 

 

Saham di Australia meningkat 0.64% pada awal dagangan dengan niaga hadapan Jepun menokok 0.02%.

 

Niaga hadapan e-mini bagi S&P 500 pula melonjak 0.07%, selepas Wall Street ditutup mengukuh semalam. - DagangNews.com