Sentimen negatif semasa terhadap permintaan minyak mentah dunia keterlaluan - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Sentimen negatif semasa terhadap permintaan minyak mentah dunia keterlaluan - AmInvestment

Pilihan utama AmInvestment adalah Dialog Group yang disokong perniagaan terminal tangki. -Gambar hiasan Dialog
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA UMPUR 13 Sept - AmInvestment Bank Research percaya sentimen negatif semasa terhadap minyak mintah dunia adalah keterlaluan memandangkan OPEC telah melanjutkan pengurangan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari sehingga akhir 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, momentum semasa harga minyak sebahagian besarnya didorong oleh sentimen negatif yang berpunca daripada kebimbangan mengenai dinamik permintaan minyak global.

 

Katanya, ini berkaitan pertumbuhan ekonomi China yang semakin perlahan sementara peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) mengurangkan penggunaan bahan bakar pengangkutan iaitu gasolin dan diesel.

 

"Kami menyemak turun unjuran harga minyak mentah Brent untuk 2024 kepada AS$83/setong daripaa AS$85/setong sebelum ini dan menetapkan 2025 pada US$80/setong. 

 

"Kami mengubah sedikit ramalan harga minyak mentah Brent untuk mengambil kira prestasi yang lebih lemah daripada yang dijangkakan dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Harga minyak mentah dunia dilaporkan menghampiri paras terendah tiga tahun apabila diniagakan sekitar AS$69 setong pada Selasa lalu susulan unjuran permintaan 2025 terbaharu yang dikeluarkan OPEC.

 

Ini kali pertama minyak mentah Brent mencecah di bawah paras AS70 setong sejak Disember 2021. 

 

AmInvestment dalam pada itu menurunkan penarafan sektor kepada NEUTRAL daripada OVERWEIGHT sebelum ini. 

 

Firma penyelidikan itu melihat prospek yang lebih seimbang untuk sektor ini disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang lebih rendah sebanyak 5% untuk 2025 daripada 22% pada 2024 dan prospek neutral untuk sektor petrokimia.

 

Katanya, ini memandangkan produk berkaitan komoditi itu terus dibebani oleh lebihan kapasiti dan permintaan yang lemah dari China.

 

"Risiko penurunan yang meningkat untuk kontraktor penyelenggaraan minyak dan gas (O&G) tempatan disebabkan perkembangan terbaru yang melibatkan Petronas dan Petros. 

 

"Didorong oleh faktor-faktor ini, kami mengambil pendekatan risiko dan lebih selektif dalam panggilan beli kami. 

 

"Pilihan utama adalah Dialog Group (Beli, FV: RM2.95) yang disokong perniagaan terminal tangki serta pemulihan operasi berasaskan penyelenggaraan mereka yang sebelum ini mengalami kerugian dan Deleum (Beli, FV: RM1.80) disebabkan kedudukan pasaran yang kuat dalam ruang turbin O&G, menjadi penerima utama kitaran kontrak penyelenggaraan baru dan mempunyai lembaran imbangan tunai bersih yang sihat," ujarnya.

 

AmInvestment juga menyukai Petronas Gas (Beli, FV: RM19.97), yang menawarkan hasil dividen yang baik sebanyak 5.4%, yang boleh meningkat lebih lanjut melalui pengoptimuman struktur modalnya bersama dengan pendapatan berulang yang mampan dari operasi pengangkutan dan pemprosesan gas. 

 

"Kami mengekalkan pandangan positif kami terhadap subsektor FPSO tetapi lebih suka kontraktor yang mempunyai pendedahan sedia ada ke Amerika Selatan dan Afrika yang mempunyai suasana tender yang lebih aktif dari program penerokaan yang semakin meningkat," katanya.- DagangNews.com