Sentimen pasaran ‘goyah’ tapi keyakinan komuniti pelaburan tidak berubah - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Sentimen pasaran ‘goyah’ tapi keyakinan komuniti pelaburan tidak berubah - PublicInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Seolah-olah sukar untuk indeks utama, FBM KLCI kembali melonjak semula ekoran bursa tempatan yang tergelincir di bawah paras rintangan 1,500 dengan minat pelabur terutamanya pelabur asing yang semakin berkurangan.

 

Setakat minggu lalu yang berakhir 6 Ogos 2021, pasaran ekuiti tempatan terus menyaksikan aliran keluar asing berjumlah RM451.09 juta buat minggu ketujuh berturut-turut. 

 

PublicInvest Research sebelum ini meramalkan kemerosotan pasaran tempatan mungkin disebabkan oleh lonjakan kes COVID-19 yang meningkat mendadak walaupun kadar vaksinasi giat dipercepatkan. 

 

“Namun, pasaran terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan - mungkin disebabkan oleh (isu) politik?” soal firma penyelidikan itu. 

 

Walaupun sentimen pasaran ekuiti ketika ini tidak stabil, namun PublicInvest melihat keyakinan komuniti pelaburan seperti para penganalisis masih tidak berubah. 

 

Ini dicerminkan oleh harga sasaran saham di mana secara keseluruhannya, agak tidak berubah daripada tempoh sebulan yang lalu dan kebanyakannya lebih tinggi daripada harga semasa. 

 

“Saham sarung tangan dan perladangan dilihat menyaksikan lonjakan harga yang tertinggi, walaupun berprestasi agak teruk setakat ini,” tambah firma penyelidikan itu lagi.

 

Namun, firma penyelidikan itu khuatir sekiranya pasaran ekuiti Malaysia berisiko ketinggalan daripada pasaran global yang mampu memecah rekod tertinggi baharu.

 

Walaupun penyertaan pasaran terus didominasi oleh pelabur runcit, namun purata nilai dagangan harian menyaksikan penurunan sejak Mac tahun ini, kata PublicInvest.

 

Mengambil kira pembukaan semula ekonomi dan penyelesaian politik yang hanya berlaku pada peringkat terakhir suku ketiga tahun 2021 (3Q21), perubahan dinamik pasaran yang ketara menjadikan bursa tempatan dan penanda aras utama mungkin didagangkan menghampiri purata pendapatan jangka panjang seperti mana diunjurkan sebelum ini. 

 

“Oleh itu, kami menurunkan unjuran FBM KLCI pada penghujung 2021, ditutup pada 1,590 mata (sebelum ini diunjurkan pada 1,690 mata), yang setara dengan 15x nisbah harga kepada perolehan kerana premium risiko yang lebih tinggi.

 

“Kami terus menyarankan untuk beli saham lemah, dengan harapan ia kembali melonjak semula pada 4Q2021,” jelas firma penyelidikan itu lagi. - DagangNews.com