Sentral REIT agak ‘kalis’ COVID-19 berbanding amanah pelaburan hartanah lain - HLIB | DagangNews Skip to main content

Sentral REIT agak ‘kalis’ COVID-19 berbanding amanah pelaburan hartanah lain - HLIB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Sentral REIT disifatkan agak terlindung daripada impak COVID-19, susulan sebahagian besar atau 88% daripada portfolio hartanahnya terdiri daripada bangunan pejabat berbanding amanah pelaburan hartanah (REIT) lain yang menumpukan portfolio pusat beli-belah. 

 

Mengambil kira faktor berkenaan, penganalisis di Hong Leong Investment Bank Research (HLIB), Farah Diyana Kamaludin menjangkakan Sentral REIT akan terus mencatatkan perolehan yang mampan memasuki separuh kedua tahun kewangan 2021 (2HFY21).

 

“Kekal ‘beli’ (saham Sentral REIT) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.98 (sesaham). TP kami berdasarkan agihan setiap unit (DPU) pada FY22 dengan sasaran kadar hasil sebanyak 7.9%, di mana dipacu daripada purata kadar hasil Sentral REIT bagi tempoh dua tahun sebelum ini dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun. 

 

“Kami sukakan Sentral REIT kerana ia mempunyai kadar hasil yang menarik sebanyak 8.4% (tertinggi daripada REIT lain di bawah liputan HLIB) dan perolehannya agak stabil ketika COVID-19 susulan pendedahan runcit yang berbeza daripada REIT pusat beli-belah,” jelas beliau dalam satu nota kajian.

 

Semalam, pengurus Sentral REIT, Sentral REIT Management Sdn. Bhd. (SRM) mengumumkan keuntungan bersih kumpulan menokok kepada RM22.6 juta berbanding RM19.1 juta yang dicatatkan setahun lalu.

 

Baca : Pelupusan bangunan Quill 5 lonjak untung bersih Sentral REIT 18.7% pada suku kedua

 

Menurut Kenanga Research, Sentral REIT bakal menyaksikan jumlah penyewaan tamat tempoh yang minimum bagi FY21 hingga FY22 antara 22% hingga 16% daripada jumlah aset yang disewakan, walaupun isu ruang pejabat yang berlebihan di kawasan Lembah Klang masih lagi belum selesai. 

 

Jelas penganalisisnya, Marie Vaz, penghunian aset REIT itu kekal stabil pada kadar 91.7%. 

 

“Dengan tamat tempoh penyewaan yang sedikit, kami percaya Sentral REIT sekurang-kurangnya dapat menyaksikan pertumbuhan perolehan yang mendatar dari segi perbandingan tahun ke tahun. 

 

“Sementara, situasi COVID-19 telah menyebabkan kumpulan menjadi lebih ‘rajin’ dalam menguruskan aliran tunai dan melaksanakan disiplin kewangan. Ini dapat membantu menarik peluang pengambilalihan sekiranya situasi itu timbul berdasarkan kunci kira-kiranya yang sihat,” kata Vaz. 

 

Senada HLIB dan Kenanga, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Sentral REIT dengan TP tidak berubah pada kadar RM0.989. 

 

Dalam masa sama, firma itu turut mengekalkan unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi FY21 hingga FY23 dengan DPU pada FY21, FY22 dan FY23, masing-masing diunjurkan pada kadar 6.8 sen, 6.9 sen dan 6.9 sen. - DagangNews.com