KUALA LUMPUR 17 Nov - Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang, malam tadi (16 Nov).
Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata, Kapt Mohamad Affendi Bustamy meninggal dunia dalam nahas itu sementara Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
TUDM berkata, nahas di Pangkalan Udara Butterworth, itu berlaku kira-kira 10.07 malam pada Selasa ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.
"Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.
Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih. TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan tengah malam tadi, lapor Bernama.
Susulan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden dan menyiasat punca kejadian membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 yang berlaku malam tadi.
Beliau berkata insiden intu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.
“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera...amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden itu.
Kronologi insiden pesawat Hawk TUDM terhempas, mendarat cemas sejak 1996
Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.
- 18 Jun 1996 -- Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.
- 23 Julai 1996 -- Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.
- 10 Sept 1998 -- Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 yang dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.
- 2 Okt 2000 -- Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.
- 18 Dis 2003 -- Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
- 23 Jun 2005 -- Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbangnya.
- 4 Mei 2007 -- Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.
- 15 Jun 2017 -- Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
- 16 Nov 2021 -- Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban. - DagangNews.com