Seorang lagi pengurusan kanan LTAT letak jawatan | DagangNews Skip to main content

Seorang lagi pengurusan kanan LTAT letak jawatan

KUALA LUMPUR 19 Feb - Seorang lagi pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) meletak jawatan, menjadikannya tiga peletakan jawatan sejak sebulan lalu dalam organiasi dana pencen untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia itu.

 

Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar, 39, dilaporkan telah mengemukakan surat peletakan jawatannya bagi mengejar kepentingan lain.

 

Peletakan jawatan Dayana akan menyusuli pemergian Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Pengerusi Jeneral, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Ahmad Nazim lepaskan jawatan ketua eksekutif LTAT

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi LTAT, Raja Mohamed Affandi lepaskan jawatan seminggu selepas CEO letak jawatan

 

Raja Mohamed Affandi meletak jawatan tersebut hanya kira-kira seminggu selepas lembaga pengarah LTAT mengumumkan pengunduran ketua eksekutifnya, Ahmad Nazim berkuat kuasa 31 Januari 2024.

 

Surat peletakan jawatan Ahmad Nazim kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin yang dilihat oleh New Straits Times (NST) melahirkan kebimbangan bahawa keputusan untuk menangguhkan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 akan menjejas pelaksanaan dan menimbulkan risiko besar kepada kunci kira-kira LTAT, selain memberi kesan kepada keupayaan organisasi tersebut untuk memenuhi sasaran dividen minimum untuk 2023.

 

Sementara itu, Pharmaniaga Bhd hari ini mengumumkan bahawa Dayana meletak jawatan sebagai Anggota Lembaga Pengarah mulai 14 Februari 2024. Lembaga Pengarah Pharmaniaga menerima surat peletakan jawatan beliau pada 16 Februari 2024.

 

Dayana, dilantik sebagai pengarah ganti untuk seorang lagi penama LTAT, ketua pegawai kewangan Mohammad Ashraf Md Radzi.

 

Pharmaniaga, yang merupakan syarikat berstatus Amalan Nota 17 (PN17), menyerahkan pelan penyusunan semula syarikat itu pada 29 November 2023.

 

Pada 1 Februari 2024, syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata ia sedang dalam penyediaan permohonan berhubung pelan penyusunan semula dan akan mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia untuk kelulusan dalam masa terdekat.  - DagangNews.com