Separuh kedua 2022 dilihat tempoh paling sesuai naikkan OPR - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Separuh kedua 2022 dilihat tempoh paling sesuai naikkan OPR - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Mac - Separuh kedua 2022 dilihat tempoh paling sesuai untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) kini memberi tumpuan untuk memastikan pemulihan ekonomi yang mampan. 

 

Menurut MIDF Research, dengan kadar inflasi yang berlegar dalam unjuran BNM, ia berpendapat terdapat kurang tekanan kepada bank pusat untuk segera beralih ke arah mengetatkan dasar.

 

Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam makroekonomi, terutama pemulihan berterusan pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Oleh itu, setakat ini, kami menjangkakan normalisasi dasar dijangka berlaku pada separuh kedua dengan kemungkinan pada suku ketiga 2022. 

 

"Dari perspektif tempoh sederhana, normalisasi dasar adalah perlu bagi mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan kenaikan dalam hutang isi rumah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat keduanya tahun ini mengekalkan OPR pada 1.75%.

 

MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif manakala langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus menyokong kegiatan ekonomi. 

 

Baca : Kadar faedah masih kekal rendah pada 1.75% - BNM 

 

Sementara itu, Public Investment Bank Research berkata, keputusan itu sudah dijangka dan menandakan status quo dasar selama 21 bulan berturut-turut oleh BNM.

 

Katanya, momentum ekonomi dijangka mendapat lebih banyak daya tarikan pada tahun ini berikutan impak daripada strategi pengembangan fiskal dan kewangan.

 

"Ini juga akan dibantu oleh pembukaan ekonomi penuh memandangkan semua negeri telah beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Strategi bergantung oleh bank pusat berikutan impak daripada rangsangan perbelanjaan dan persekitaran kadar faedah yang akomodatif sepatutnya menyaksikan OPR kekal stabil sebelum ia kembali dinormalisasikan pada separuh kedua 2022," jelasnya.

 

Kenanga Research pula mengekalkan pandangannya bahawa BNM tidak perlu terburu-buru menaikkan kadar tersebut terutama di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine. 

 

Menurutnya, bahaya yang nyata sekarang ialah peningkatan konflik di Ukraine dan sejauh mana Presiden Rusia Vladimir Putin sanggup meneruskan penaklukan tenteranya. 

 

Tambahan pula, harga komoditi terutama minyak, gas, gandum dan aluminium baru-baru ini melonjak ke paras tertinggi sedekad, meningkatkan risiko kejutan bekalan.

 

"Tidak perlu banyak untuk meneka bahawa pembuat dasar akan mengalihkan tumpuan mereka dan memikirkan semula untuk membuat perubahan dasar yang besar. 

 

"Oleh itu, ini menunjukkan kemungkinan BNM akan mengambil sikap berkecuali daripada tergesa-gesa ke arah penumpuan dasar.

 

"Tetapi, jika BNM membuat keputusan untuk menaikkan OPR, kami percaya ia dijangka bermula pada separuh kedua dan tidak lebih daripada 50 mata asas," katanya. - DagangNews.com