Serba Dinamik berjaya peroleh penangguhan sementara Mahkamah Tinggi bagi perintah gulung tikar | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik berjaya peroleh penangguhan sementara Mahkamah Tinggi bagi perintah gulung tikar

KUALA LUMPUR 10 Feb - Mahkamah Tinggi (bahagian komersial) hari ini membenarkan penangguhan sementara kepada Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) dan tiga anak syarikatnya atas perintah gulung tikar terhadap mereka. 

 

Perintah penangguhan sementara itu diberikan oleh hakim Ahmad Murad Abdul Aziz, sementara menunggu perbicaraan permohonan penangguhan syarikat yang ditetapkan untuk pendengaran pada 6 Mac ini.

 

“Mahkamah tidak fikir pemiutang akan terlalu prejudis dengan perintah penangguhan sementara ini, yang akan berlangsung kira-kira tiga minggu.

 

“Oleh itu, perintah penangguhan sementara diberikan dengan syarat pelikuidasi yang dilantik, dikekalkan (sehingga itu),” tambahnya, menurut laporan The Edge.

 

Ahmad Murad berkata beliau akan mendengar permohonan empat syarikat itu pada 6 Mac, diikuti dengan keputusan pada 9 Mac.

 

Katanya, beliau tidak mahu menangguhnya terlalu lama, kerana ia mungkin menjejaskan pemiutang.

 

Selain SDHB, syarikat lain yang memohon penangguhan sementara adalah Serba Dinamik International Ltd, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik Group Bhd.

 

Mereka memohon penangguhan sementara sebelum perbicaraan penangguhan tetap perintah penggulungan sementara menunggu rayuan empat syarikat kepada Mahkamah Rayuan.

 

Serba Dinamik diwakili oleh Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Mak Lin Kum. - DagangNews.com