Serba Dinamik cadang ceburi industri angkasa | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik cadang ceburi industri angkasa

 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Serba Dinamik Group Bhd. berhasrat menubuhkan sebuah anak syarikat baharu pada suku ketiga tahun ini bagi menjayakan penerokaan syarikat dalam industri angkasa.

 

Bagaimanapun, itu bukan bermakna Serba Dinamik keluar daripada perniagaan minyak dan gas sebaliknya akan memperkukuhkan kehadirannya dalam industri berkenaan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Ir. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata kepada Bernama, kedudukan Serba Dinamik dalam industri minyak dan gas akan berterusan manakala ekonomi angkasa akan turut serta sebagai satu lagi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan. 

 

"Malah, Serba Dinamik akan bertambah besar dan kuat dengan bidang baharu ini yang akan memastikan kelestarian kumpulan," katanya. 

 

Menurut beliau, anak syarikat yang akan ditubuhkan itu kelak akan menguruskan penglibatan kumpulan dalam industri baharu menerusi peningkatan kapasiti melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan peserta/pemain antarabangsa.

 

"Seiring dengan perniagaan kami yang kian meningkat dan kehadiran kami dalam industri turut berkembang, kami akan melihat kepada keperluan perniagaan dan mencari penyelesaian terbaik yang dapat memberi manfaat kepada kumpulan bagi memastikan kelangsungan perniagaan," kata beliau. 

 

Baru-baru ini, kumpulan perkhidmatan tenaga itu telah mengumumkan kerjasamanya  dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk memperkukuhkan lagi pembangunan ekonomi dan industri angkasa Malaysia.

 

Menurut kumpulan itu, Malaysia masih belum menyertai ‘ekonomi angkasa baharu’ walaupun sudah bersedia untuk melakukannya.

 

MYSA telah mengambil inisiatif melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan memperkenalkan Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020, yang dibentangkan bagi bacaan pertama tahun lepas.

 

Mohd. Karim berkata, Serba Dinamik merancang untuk menerokai bidang ekonomi angkasa kerana ia akan menghubungkan titik-titik dari segi teknologi maklumat dan komunikasi, yang merupakan antara kecekapan teras dalam kumpulan, melalui kesalinghubungan internet ke kawasan-kawasan dalam negara  yang tidak dapat dihubungi dengan menggunakan teknologi satelit untuk kesalinghubungan.

 

“Ini diperlukan bagi menyokong pelbagai inisiatif kumpulan mengenai teknologi sempadan yang memerlukan saling hubung jalur lebar dan internet untuk merealisasikan penggunaannya," tambahnya.

 

Beliau turut maklum bahawa menyediakan kemudahan dan infrastruktur akan membuka pasaran yang lebih besar untuk industri berkaitan yang lain di bawah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

 

"Ia  juga memberikan sumbangan dari segi pembangunan negara, yang merupakan hasrat kerajaan pada masa ini untuk menyediakan kesalinghubungan kepada seluruh masyarakat," katanya.

 

Menurut beliau, peranan MYSA adalah memberi sokongan teknikal penasihat dalam organisasi untuk membantu Serba Dinamik merealisasikan objektifnya dan serterusnya bertapak dalam ekonomi angkasa.

 

Serba Dinamik turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SWISSto12, syarikat yang berpangkalan di Switzerland dan pakar dalam teknologi untuk menghasilkan komponen yang digunakan dalam satelit melalui teknologi percetakan 3D.

 

Dengan MOU itu, SWISSto12 dijangka dapat menyediakan sokongan kepada Serba Dinamik dan rakan niaga dalam inisiatif angkasa mereka.

 

"Menerusi kerjasama ini juga, Serba Dinamik akan meningkatkan kemampuannya dalam bidang kejuruteraan bernilai tinggi yang amat diperlukan untuk menyokong ekonomi ruang angkasa," kata beliau.

 

Mohd. Karim menambah kumpulan itu juga akan memupuk tenaga kerja dengan memberikan latihan dan pendidikan untuk mewujudkan profesional yang cekap dan berkemahiran dalam industri angkasa bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang diperlukan untuk menyokong industri yang sedang berkembang ini.

 

"Kami juga akan berusaha untuk memindahkan pengetahuan daripada pemain industri melalui kerjasama kami dengan pemain antarabangsa dalam bidang ini.

 

"Pemindahan pengetahuan ini akan membantu Serba Dinamik untuk memperoleh kemampuan kejuruteraan bernilai tinggi yang memastikan Serba Dinamik dapat menjadi salah satu pemain utama dalam industri angkasa lepas,” ujar beliau. - DagangNews.com