Serba Dinamik gantung lagi dagangan saham hari ini | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik gantung lagi dagangan saham hari ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Syarikat perkhidmatan tenaga, Serba Dinamik Holdings Berhad menggantungkan urus niaga sekuritinya di Bursa Malaysia bermula 9 pagi, hari ini. 

 

Ini selepas Bursa Malaysia meluluskan permohonan syarikat bagi pelaksanaan langkah tersebut sementara menunggu penjelasan terhadap pengumuman yang dibuatnya pada 25 Mei 2021.

 

Sebelum ini, Serba Dinamik dalam maklumannya di Bursa Malaysia menjelaskan syarikat telah melantik firma bebas untuk menilai ketepatan berhubung perkara yang dibangkitkan oleh pengaudit luarannya, KPMG berkaitan audit berkanun. 

 

Bagi penganalisis di TA Securities, Kylie Chan Sze Zan, perkara yang dibangkitkan itu mungkin merupakan satu amaran dan ketidaktentuan masih lagi tinggi buat masa ini. 

 

Sze Zan percaya bahawa pihak pelabur memerlukan lebih perincian untuk menerima penjelasan dengan wajar. 

 

“Oleh itu, kami lebih memilih untuk berhati-hati dan menunggu perkembangan selanjutnya sebelum berubah positif.

 

“Kebimbangan terhadap pentadbiran korporat dan integriti kewangan membebankan Serba Dinamik buat masa ini. 

 

“Sehinggalah penjelasan ada nanti, kami fikir perkembangan ini akan terus mengheret sentimen. Kami percaya para pelabur tidak akan menolak sepenuhnya kemungkinan penemuan audit KPMG berubah menjadi material dan memalukan,” jelas beliau dalam satu nota kajian bertarikh semalam. 

 

TA Securities menyarankan untuk ‘pegang’ saham Serba Dinamik dengan harga sasaran (TP) berada pada kadar RM1.70 sesaham. 

 

Perkara yang dibangkitkan oleh KPMG itu dilaporkan berkaitan kewangan bagi tahun kewangan 2020 (FY20) syarikat. 

 

Tambah Sze Zan, pihaknya difahamkan oleh pihak pengurusan Serba Dinamik bahawa sebagai sebahagian daripada proses audit tahunannya,  KPMG telah meminta jaminan daripada syarikat berhubung faktor risiko. 

 

Seterusnya, perkara itu telah dikenalpasti pada April 2020 dan secara rasmi dihantar kepada Serba Dinamik pada awal Mei 2020, menurut Sze Zan lagi. 

 

Namun, kata penganalisis itu, pandemik COVID-19 telah menyebabkan operasi dan logistik yang terhad di seluruh perniagaan Serba Dinamik meliputi 20 buah negara sekali gus mendatangkan cabaran dalam memuktamadkan penyata kewangan. 

 

“Disebabkan itu, pihak pengurusan dan KPMG memerlukan lanjutan masa untuk menyelesaikan langkah audit tersebut dalam tempoh masa yang dibenarkan. 

 

“Sebagai menggantikan langkah itu dan untuk mempercepat penyelesaiannya, pihak pengurusan telah memutuskan untuk melibatkan firma luar bagi membantu KPMG. Dalam pada itu, Serba Dinamik akan mengubahkan tahun kewangannya berakhir 30 Jun daripada 31 Disember sebelum ini,” jelas Sze Zan.

 

Sebagai rekod, KPMG telah dilantik sebagai pengaudit Serba Dinamik sejak tawaran awam awal (IPO) syarikat pada 2017. - DagangNews.com