SHAH ALAM 25 Feb – Serba Dinamik Holdings Bhd mengumumkan pelantikan dua pengarah bebas bukan eksekutif baharu berkuatkuasa hari ini, bagi meneguhkan komposisi lembaga pengarah.
Mereka ialah Felix Chin Wui Choong dan Ahmad Amryn Abd Malek, dilantik menganggotai jawatankuasa audit, pencalonan dan remunerasi kumpulan syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu.
Felix Chin, 54, merupakan seorang akauntan dan Felo Chartered Institute of Management Accountants, UK (CIMA) dan Chartered Global Management Accountants, US (CGMA), serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Auditor Kualiti Dalaman Bertauliah di Det Norske Veritas (DNV).
Beliau memiliki pengalaman lebih 30 tahun dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Pengarah Kewangan, dan Pengawal Kewangan di pelbagai persekitaran perniagaan, di syarikat tempatan dan multinasional.
Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Ire-Tex Corporation Berhad sebelium menyertai Malaysia Pacific Corp Bhd. Felix merupakan Jurunilai Global bagi CIMA dan AICPA.
Menyertai Felix yang juga bekas Pengarah Ire-tex Corporation Berhad, Ahmad Amryn, 48, merupakan lulusan undang-undang dari Cardiff University of Wales, UK.
Beliau memiliki pengalaman lebih 20 tahun di dalam pelbagai industri merangkumi telco, IT, perladangan dan juga industri pembungkusan.
Menurut Pengerusi kumpulan, Datuk Abdul Kadier Sahib, pelantikan kedua-dua pengarah baharu itu bakal menguatkan kompososi dan arah tuju kumpulan terutama ketika syarikat berstatus PN17 sekarang.
Beliau berkata, pengalaman luas kedua-dua mereka di dalam perakaunan dan perundangan diperlukan bagi memberi nasihat terhadap keseluruhan proses regularisasi PN17. – DagangNews.com