Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jun - Di celah-celah kontroversi yang berlarutan lebih sebulan, saham Serba Dinamik Holdings Bhd. masih mempunyai tarikan di mata pelabur.
Berdasarkan laporan aliran dana CGS-CIMB bagi minggu berakhir 25 Jun, pelabur runcit masih kekal membeli saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu.
Malah, pelabur runcit juga menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan bagi tempoh empat minggu berturut-turut berjumlah RM584 juta, meningkat 163 peratus berbanding RM222 juta minggu sebelumnya dengan kebanyakannya membeli saham dari sektor penjagaan kesihatan dan tenaga.
Selain Serba Dinamik, kaunter yang turut menjadi tumpuan pelabur runcit termasuklah Hartalega Holdings Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan pada minggu lalu bertindak melupuskan saham Serba Dinamik, sekali gus muncul penjual bersih kedua terbesar dalam pasaran.
"Di samping itu, mereka turut melupuskan saham Cahya Mata Sarawak Bhd. dan Top Glove Corporation Bhd.
"Bagaimanapun, penjualan ekuiti pelabur institusi tempatan susut 22 peratus kepada RM298 juta berbanding minggu sebelumnya," katanya dalam laporan itu hari ini.
Susulan konflik membabitkan Serba Dinamik dengan pengauditnya, KPMG, KWSP mengurangkan pegangannya kepada 7.6 peratus berbanding 10.2 peratus pada 3 Jun lalu.
Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang ke atas KPMG sekali gus menyebabkan juruaudit itu menamatkan khidmatnya minggu lalu.
Menurut CGS-CIMB, pelabur asing masih kekal menjual paling banyak ekuiti tempatan dengan meningkat kepada RM469.5 juta berbanding RM76 juta minggu sebelumya.
Jelas firma itu, selain Serba Dinamik, sepanjang minggu lalu, pelabur banyak memberi tumpuan kepada saham Public Bank Bhd. dan CIMB Group.
Public Bank muncul saham paling banyak dibeli pelabur institusi tempatan dan pada masa sama, paling banyak dijual pelabur institusi asing.
"Saham CIMB pula paling banyak dibeli pelabur institusi asing tetapi pelabur runcit dan penama paling banyak menjual sahamnya," tambah firma itu.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB berkata, bagi dagangan berakhir Jumaat lalu, ia menyaksikan indeks FBM KLCI susut 1.8 peratus apabila pelabur asing menjual ekuiti mereka disebabkan kebimbangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 28 Jun 2021.
Ini menyebabkan jumlah purata dagangan harian jatuh satu peratus minggu ke minggu kepada 5.65 bilion unit manakala nilai purata dagangan merosot 22 peratus kepada RM2.9 bilion.
"Pelabur asing juga kekal menjual ekuiti tempatan bagi tempoh 23 minggu berturut-turut, sejak Julai 2019 hingga Mei 2021.
"Setakat ini, mereka telah melupuskan ekuiti tempatan sebanyak RM3.8 bilion," jelasnya.
Namun, firma itu mendapati, di sebalik penjualan asing ini, pegangan asing dalam ekuiti Malaysia meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 20.4 peratus setakat akhir Mei 2021. - DagangNews.com