KUALA LUMPUR 13 Mei - Serendib Capital Ltd menegaskan perjanjian untuk menyelamatkan Sarawak Cable Bhd masih berkuat kuasa dan tidak boleh ditamatkan secara sebelah pihak.
Menurut firma berpengkalan di United Kingdom (UK) itu, pengumuman Sarawak Cable pada 10 Mei 2024 mengenai "pihak alternatif yang kuat" yang berminat untuk menghidupkan semula syarikat tersebut tidak dibincangkan dengan mana-mana pengarah yang mewakili Serendib.
"Serendib juga tidak diberitahu lebih awal seperti yang diperlukan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kata Serendib, pihaknya bercadang untuk memenuhi semua kewajipan di bawah memorandum perjanjian (MOA) yang ditandatangani pada Disember 2023 dengan Sarawak Cable.
Pada Jumaat lalu, Sarawak Cable berkata, ia tidak dapat bersetuju tentang hubungan kerja dengan Serendib disebabkan oleh kelewatan dalam mencadangkan dan melaksanakan sebarang penyelesaian hutang dengan kreditornya di bawah MOA.
Kata Serendib, Sarawak Cable tidak menyatakan bahawa perjanjian itu telah ditamatkan dan hanya berkata bahawa "pemutusan memorandum perjanjian tidak akan, menurut pandangan syarikat, memberi kesan kepada pelan penyesuaian PN17 (Nota Amalan 17) syarikat".
ARTIKEL BERKAITAN: Laksana pelan pemulihan status PN17, Serendib Capital muncul penyelamat Sarawak Cable
Kata fima itu, ini bermakna perjanjian tersebut tidak ditamatkan dan masih berkuat kuasa.
"Ancaman ini kini ditangani oleh peguam-paguam Serendib," kata kenyataan itu.
Serendib menekankan bahawa ia telah mengemukakan "pelan yang telus, berwibawa yang menjamin masa depan syarikat" selepas hampir lima bulan rundingan dengan bank-bank pemiutangnya.
"Pelan itu masih dalam proses kerana penyelesaian melibatkan 13 bank," tegas Serendib seperti dilaporkan.
Syarikat kabel itu telah jatuh ke dalam status PN17 pada September 2022 kerana kebimbangan yang dinyatakan oleh juru audit luarannya selepas beberapa institusi kewangan menggantung kemudahan kredit kumpulannya.
Tempoh masa syarikat untuk mengemukakan pelan penyesuaian telah dilanjutkan beberapa kali, dengan tarikh akhir terkini ditetapkan pada 30 September.
Syarikat itu telah mengalami kerugian selama lapan suku berturut-turut. Untuk suku kewangan yang berakhir pada 29 Februari 2024 (3QFY2024), kerugian bersih Sarawak Cable melebar kepada RM21.04 juta daripada RM14.16 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan merosot 43% kepada RM74.43 juta daripada RM130.55 juta.
Untuk tempoh sembilan bulan (9MFY2024), kerugian bersihnya bertambah kepada RM69.58 juta daripada RM26.44 juta dalam 9MFY2023, manakala pendapatannya merosot 39.9% kepada RM273.94 juta daripada RM455.94 juta.
Pada akhir Februari 2024, tunai dan setara tunainya berjumlah RM23.85 juta manakala pinjaman dan hutangnya berjumlah RM393.24 juta.
Pemegang saham terbesar kumpulan itu adalah Pengerusi, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib. Beliau kini memegang 18.63% saham. Sarawak Energy juga memegang 13.13% saham dalam syarikat itu.
Pada masa penulisan, saham Sarawak Cable diniagakan tidak berubah pada 14 sen, menilai syarikat itu pada RM55.86 juta.- DagangNews.com