Sesi lawatan maya ke Zoo Taiping tarik ramai `pengunjung' | DagangNews Skip to main content

Sesi lawatan maya ke Zoo Taiping tarik ramai `pengunjung'

TAIPING 5 Julai - Lawatan maya ke Zoo Taiping & Night Safari pagi Ahad, telah mengubat kerinduan orang ramai yang ingin mengunjungi lokasi pelancongan itu ketika tempoh kawalan pergerakan susulan ia masih tidak dibenarkan beroperasi setakat ini.

 

Sesi Facebook Live dan Instagram yang menayangkan lawatan secara percuma bermula 10 pagi itu, memaparkan buaya tembaga yang terdapat di zoo berkenaan secara langsung, yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengguna media sosial.

 

Menurut pegawai veterinar Zoo Taiping & Night Safari, Dr Muhammad Ridzuan Affendi yang memberi penerangan semasa lawatan itu, terdapat enam ekor buaya tembaga yang ditempatkan di kawasan luas bagi memudahkan haiwan reptilia itu mengawan dan berjemur.

 

“Buaya jantan mempunyai berat antara 450 hingga 600 kilogram (kg) dengan panjang 6.3 meter manakala buaya betina mempunyai berat antara 200 hingga 300kg dengan tiga meter panjang.

 

"Reptilia ini mempunyai jangka hayat sehingga 70 tahun dan bertelur antara lima hingga tujuh biji serta tempoh pengeraman telur untuk menetas selama 90 hari,” katanya, lapor Bernama.

 

Aktiviti secara maya itu dilaksanakan sebagai inisiatif zoo berkenaan yang terkesan susulan penutupan aktiviti pelancongan akibat COVID-19 kerana sebelum ini ia menjadi antara tumpuan pelancong pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

 

zoo taiping
Pengunjung melihat secara dekat buaya yang terdapat di Zoo Taiping & Night Safari. - Gambar fail

 

Bagaimanapun sidang video itu terpaksa dihentikan secara tiba-tiba berikutan terdapat masalah teknikal walaupun warganet amat teruja ketika menonton haiwan yang diancam kepupusan berikutan sering diburu untuk mendapatkan kulitnya tersebut.

 

Zoo Taiping yang dibuka pada 1961 merupakan zoo tertua di negara ini dan mempunyai lebih 1,300 ekor haiwan dengan 180 spesies di kawasan seluas 14 hektar. - DagangNews.com