Setel Express sasar hantar 10,000 bungkusan sehari bermula tahun ini | DagangNews Skip to main content

Setel Express sasar hantar 10,000 bungkusan sehari bermula tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Feb - Aplikasi e-pembayaran Petronas Dagangan Berhad (PDB), Setel menyasarkan penghantaran 10,000 bungkusan sehari untuk peniaga dan pelanggan menerusi ciri terbaharu aplikasi itu, Setel Express bermula tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mohd. Faizal Sulaiman berkata, para pelanggan boleh menikmati penghantaran hari esok pada harga berpatutan untuk penghantaran antara bandar.

 

"Buat masa sekarang kami menghantar lebih kurang 1,000 barangan setiap hari dan kami menyasarkan untuk mencapai sasaran 1% daripada daripada pasaran yang berjumlah lebih daripada 1 juta penghantaran barang setiap hari.

 

“Setel Express kini memiliki kehadiran di Lembah Klang, Pulau Pinang serta Johor dan melakukan penghantaran ke seluruh Semenanjung dengan memanfaatkan stesen minyak Petronas sebagai titik penghantaran serta pengambilan.

 

“Kami turut terbuka untuk bekerjasama dengan platform e-dagang lain yang lebih besar pada masa akan datang," katanya selepas merasmikan ciri baharu Setel itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

 

setel

 

Setel Express menawarkan perkhidmatan 'drop off' di kaunter Petronas terpilih dan pilihan untuk mengambil barangan dari kediaman atau tempat terpilih untuk dihantar ke lokasi yang ditetapkan.

 

Buat masa sekarang, Setel Express memiliki lebih 90 rakan penghantaran dan bilangan itu akan bertambah kepada 300 pada masa akan datang selaras dengan usaha menambah bilangan hab barangan kepada 30 termasuk di Sabah dan Sarawak berbanding 12 ketika ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada contoh kelebihan stesen Petronas di kawasan strategik kerana ia akan membantu Setel Express bagi mengembangkan perniagaan.

 

"Kehadiran Setel Express sebagai satu perkhidmatan baharu akan melengkapi agenda PDB selain akan membantu mengembangkan perniagaan kami selain menjadikan kehidupan pelanggan lebih mudah. - DagangNews.com