KUALA LUMPUR 29 Okt. - Saham Sapura Energy Bhd. terus menokok dalam dagangan pagi ini berikutan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Tan Sri Shahril Shamsuddin meningkatkan pegangannya dengan membeli 19.05 juta saham atau 0.12%.
Namun, setakat 10.26 pagi ini, harga sahamnya menokok 0.05 sen atau 5% kepada 10.5 sen dengan 6.94 juta saham diniagakan.
Dengan pembelian terbaharu itu meningkatkan pegangan tidak langsung beliau dalam kumpulan kepada 12.94% atau 2.07 bilion saham, daripada 12.82% atau 2.05 bilion.
Pegangan langsungnya pula kekal pada 1.09% atau 174.81 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, syarikat minyak dan gas itu berkata, Shahril membeli saham tersebut menerusi enjin pelaburannya, Jurudata Sdn. Bhd. pada 22 Oktober lalu.
Meskipun tidak mendedahkan jumlah transaksi yang dibuat tetapi berdasarkan harga penutupan petang semalam pada 10.5 sen, pembelian itu mungkin berjumlah RM2 juta.
Kali terakhir beliau membeli saham Sapura Energy adalah pada 3 Mac 2020, melibatkan 1 juta saham bernilai 17.5 sen sesaham.
Shahril bersara sebagai CEO Sapura Energy pada 22 Mac 2021 selepas memimpin syarikat itu selama 25 tahun. - DagangNews.com