Shell kurangkan kos hingga 40% fokus peralihan tenaga | DagangNews Skip to main content

Shell kurangkan kos hingga 40% fokus peralihan tenaga

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Royal Dutch Shell (Shell) berhasrat untuk mengurangkan 40% kos pengeluaran minyak dan gas bagi menjimatkan wang tunai untuk merombak perniagaan selain lebih menumpu ke arah pasaran tenaga diperbaharui.

Menurut Reuters, kajian semula pemotongan kos itu atau Project Reshape dijangka selesai tahun ini dan bakal mempengaruhi tiga jabatan utama serta penjimatan sehingga melebihi AS$4 bilion (RM16.45 bilion), sasaran yang ditetapkan pasca COVID-19. 

Pengurangan kos itu penting untuk Shell beralih ke sektor tenaga dan tenaga boleh diperbaharui di mana marginnya lebih rendah. 

Dalam pada itu, persaingan juga semakin sengit apabila firma minyak dan utiliti termasuk BP dan Total merebut syer pasaran yang beralih ke ekonomi hijau. 

“Kami mempunyai model terbaik tetapi adakah ia yang tepat untuk masa depan? Terdapat perbezaan, ini bukan sahaja melibatkan struktur tetapi budaya dan jenis syarikat yang kita mahu wujudkan,” kata sumber atasan Shell seperti dipetik Reuters. 

Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan kos operasi Shell mencecah AS$38 bilion dan perbelanjaan modal berjumlah AS$24 bilion. 

Shell kini ingin menumpukan pengeluaran minyak dan gas di beberapa hab utama termasuk Teluk Mexico, Nigeria dan Laut Utara.

Shell yang mempunyai seramai 83,000 pekerja setakat akhir 2019 melaksanakan pengurangan kos besar-besaran selepas mengambil alih BG Group bernilai AS$54 bilion yang membantu melonjakkan penghasilan tunai dalam tempoh beberapa tahun lalu. 

Kos operasi Shell termasuk pengeluaran, pembuatan, jualan, pengedaran, pentadbiran dan kajian serta perbelanjaan pembangunan jatuh 15% atau kira-kira AS$7 bilion antara 2014 hingga 2017.

Tetapi, kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19 menjejaskan lagi Shell dengan rancangannya untuk mengurangkan pelepasan karbon menjadi sifar menjelang tahun 2050. - DagangNews.com