Shopee meningkatkan jumlah keseluruhan lokasi drop-off kepada lebih daripada 300 di seluruh negara.
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Shopee memantapkan usaha untuk mempercepatkan penghantaran bagi para penjual dan pembeli di Malaysia demi memenuhi kebergantungan yang semakin meningkat pada e-dagang dan keperluan untuk penghantaran yang lebih pantas.
Inisiatif-inisiatif ini termasuk pengenalan 10 lokasi drop-off baharu bagi Shopee Xpress dan kerjasama bersama Parcelhub dan MBE, meningkatkan jumlah keseluruhan lokasi drop-off kepada lebih daripada 300 di seluruh negara.
Penambahan lokasi drop-off terutama di kawasan yang mudah diakses dan mempunyai bilangan penjual yang tinggi dijangka dapat memendekkan masa perjalanan bagi para penjual, lalu mengurangkan tempoh antara waktu pembelian dan penerimaan barangan bagi pembeli.
Selain itu, Shopee telah memperluaskan rangkaian gudang, hab dan pusat pengasingan di lebih daripada 50 lokasi strategik seluruh negara termasuk kawasan seperti Senawang, Bagan Serai, Batu Pahat, Simpang Ampat dan Bayan Lepas demi menambah baik kecekapan penghantaran termasuk ke bandar-bandar kecil.
Usaha Shopee adalah lanjutan daripada laporan Parcel Monitor dan iPrice Group yang mendapati bahawa kawalan pergerakan ekoran COVID-19 memberi kesan kepada aspek penghantaran logistik kepada pengguna iaitu menambah masa penghantaran sebanyak 119% bagi negara ini
Malah pada 2019, Parcel Perform dan iPrice Group telah melaporkan bahawa penduduk Malaysia menghadapi masa menunggu paling lama untuk penghantaran pesanan dalam talian mereka di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, penghantaran yang sebelum ini mengambil masa hingga 10 hari, malah lebih lama di Malaysia Timur, hari ini telah dicepatkan menjadi 1 hingga 4 hari.
"Kami bertungkus-lumus bekerja bersama rakan-rakan logistik dan meluaskan rangkaian logistik kami dengan menggunakan data besar dan unjuran yang lebih baik demi memperbaiki masa penghantaran di Malaysia sejak penubuhan kami pada 2015," katanya.
Beliau memberitahu, Shopee kini mengukuhkan lagi infrastruktur ini melalui Shopee Xpress dan kerjasama strategik bersama pemain logistik supaya para pembeli dan perniagaan-perniagaan di luar sana dapat menikmati perkhidmatan penghantaran yang lebih baik.
Menerusi rangkaian logistiknya yang telah diperluas, Shopee akan memperkenalkan penghantaran hari berikutnya di Semenanjung Malaysia (kecuali Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) melalui Shopee Xpress, bersempena kempen 3.3 Jualan Pasar Raya.
Pengguna yang melakukan pembelian sebelum pukul 12 tengah hari untuk barangan yang bertanda 'Penghantaran Hari Berikutnya' di Shopee Mart akan menikmati perkhidmatan penghantaran pada hari berikutnya (tidak termasuk Cuti Umum).
Shopee Mart ialah sebuah portal dalam aplikasi yang menawarkan lebih daripada 11,000 produk termasuk barangan runcit dan keperluan rumah daripada jenama yang dipercayai seperti Nestlé, Munchy's, Top, Sunlight dan Drypers.
Sekiranya pesanan yang layak tidak dihantar pada hari berikutnya, pengguna tersebut akan menerima baucar Penghantaran Percuma untuk digunakan semasa pembelian Shopee Mart mereka yang seterusnya tetapi tertakluk pada terma dan syarat.
Pelanggan yang mengunjungi Shopee semasa 3.3 Jualan Pasar Raya dapat menikmati penghantaran percuma dengan pembelanjaan minimum RM10, tawaran potongan harga 50% setiap hari serta tawaran daripada serendah 33 sen. - DagangNews.com