ShopeePay beri penajaan gerai kepada peniaga B40 yang terjejas akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

ShopeePay beri penajaan gerai kepada peniaga B40 yang terjejas akibat COVID-19

Alain Yee (berbaju putih), Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (dua dari kanan) pada majlis penyerahan gerai kepada peniaga B40 di Kuala Berang, Terengganu.

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - ShopeePay mengumumkan penajaan gerai kepada peniaga mikro daripada kumpulan pendapatan B40 yang kehilangan sumber pendapatan akibat COVID-19 sebagai sebahagian daripada inisiatif #ShopeeGivesBack. 

 

Inisiatif itu bertujuan membantu peniaga-peniaga tersebut memulakan semula perniagaan mereka serta sebagai batu loncatan untuk pemulihan.

 

Gerai tersebut yang dilengkapi dengan bumbung, rak dan ruang penyimpanan akan diedarkan kepada lebih 100 peniaga sepanjang bulan ini, dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak, serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

 

Majlis penyerahan pertama kepada 20 peniaga mikro telah berlangsung di Kuala Berang, Terengganu pada 30 Oktober lalu. 

 

Lapan gerai itu adalah sebahagian daripada Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDi) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, manakala 12 buah push cart akan disumbangkan kepada peniaga-peniaga terpilih oleh kerajaan negeri Terengganu.

 

ShopeePay akan terus berusaha bagi membantu dalam pendigitalan peniaga-peniaga ini dengan membolehkan penerimaan transaksi tanpa tunai melalui dompet mudah alihnya serta menawarkan insentif yang disediakan khas yang akan membantu peniaga meningkatkan jumlah pendapatan mereka.

 

Ini termasuk menyediakan sebuah laman mikro yang menampilkan peniaga-peniaga tersebut di aplikasi Shopee serta Baucar ShopeePay di Deals Near Me yang menawarkan pulangan tunai RM3 dengan pembelanjaan minimum RM6 hingga 31 Disember 2021. 

 

Pada masa yang sama, pengguna ShopeePay berpeluang menerima pulangan tunai sebanyak RM3 dengan pembelanjaan minimum RM15 apabila mereka mengunjungi gerai-gerai ini.

 

Deals Near Me merupakan ciri dalam talian ke luar talian yang menggunakan perkhidmatan berasaskan lokasi untuk memudahkan pengguna menemui Baucar ShopeePay oleh peniaga berhampiran termasuk bazar, kafe, restoran dan penyedia perkhidmatan.

 

“Dengan pasaran e-dagang negara berkembang dengan mantap, penggunaan kaedah pembayaran digital oleh pengguna terus meningkat. Kami komited untuk menyokong dan mendigitalkan perniagaan, serta menghubungkan mereka dengan pelanggan baharu sambil memperkasakan mereka untuk terus berkembang dan berjaya di platform kami. 

 

“Matlamat kami adalah untuk menyumbang kepada komuniti yang luas dengan membantu golongan yang memerlukan untuk mendapat manfaat daripada teknologi dan ekonomi digital, sambil menyokong usaha pemulihan negara daripada pandemik ini. 

 

"Dengan bantuan kerajaan-kerajaan negeri dan juga Kementerian Wilayah Persekutuan, kami berharap dapat memberi galakan kepada lebih ramai peniaga mikro bukan sahaja dalam pendigitalan, malah juga untuk menyediakan mereka dengan kemudahan, sokongan pemasaran dan pendedahan melalui kempen seperti 11.11 Jualan Hebat kami yang sedang berlangsung, untuk menyemarakkan semula perniagaan mereka,” kata Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee, dalam satu kenyataan hari ini.-DagangNews.com