KUALA LUMPUR 1 Julai - Shoraka Digital Ventures (SDV) menerusi syarikat fintech miliknya, Shoraka Suyula Platform (SSP) memperoleh Lesen Inovasi dari Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC).
Pengarah Urusan SDV, Johar Amat berkata, lesen itu membolehkannya beroperasi di salah sebuah pusat kewangan global terkemuka di Asia Barat, Afrika dan Asia Tenggara.
Beliau berkata, usaha mendapatkan lesen itu langkah pertama yang penting bagi pengembangan syarikat di rantau itu.
Katanya, kehadiran syarikat di salah sebuah hab fintech paling aktif di dunia akan membolehkan SSP, syarikat pemula fintech mengendali Platform Re-Rahnu, memanfaatkan bakat berkemahiran di pasaran global dan rangkaian luas yang tersedia di DIFC Fintech Hive.
"Lesen ini akan menjadi medium yang akan membawa Shoraka Suyula Platform dalam perjalanannya untuk melangkaui Asia Tenggara.
"Ia menandakan satu peristiwa penting bagi SSP untuk pelan pengembangan global di luar pasaran Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SDV adalah cabang teknologi digital di bawah Shoraka Group yang menawarkan perkhidmatan dalam berkhidmat dalam industri teknologi digital.
Hab Inovasi DIFC merupakan ekosistem pertama di rantau ini yang di dedikasi untuk menyatukan komuniti Fintech dan inovasi demi masa depan kewangan dan ekonomi. - DagangNews.com