Siasatan tragedi SUKE ambil masa sebulan - JKKP | DagangNews Skip to main content

Siasatan tragedi SUKE ambil masa sebulan - JKKP

Struktur gantry launcher yang jatuh di tapak projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Jalan Alam Damai mengorbankan tiga nyawa. - Gambar MalayMail

 

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memulakan siasatan lanjut kes kemalangan melibatkan struktur gantry launcher yang jatuh di tapak projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Jalan Alam Damai.

 

Dalam kenyataan hari ini, JKPP berkata, siasatan melibatkan pemerhatian dan penilitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi, dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan.

 

Katanya, proses siasatan dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

 

Menurutnya, tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci.

 

Antara tindakan yang boleh diambil termasuklah tindakan pendakwaan menurut peruntukan seksyen 15 dan 17, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

 

Di bawah seksyen ini memperuntukkan kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, dan keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

 

"Penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

 

"Selain itu, Notis Larangan yang dikeluarkan oleh JKPP hanya akan dibatalkan setelah majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya. 

 

Dalam kejadian 8.45 pagi 22 Mac itu, difahamkan sebatang rasuk turut jatuh selepas ditimpa komponen kren ganti.

 

Kren launcher yang jatuh itu menghempap sebuah kereta Perodua Bezza menyebabkan pemandu kereta berkenaan iaitu seorang warga tempatan, parah manakala tiga pekerja di tapak itu meninggal dunia.

 

Menurut JKPP, sepanjang tahun lalu, jabatan telah menjalankan 14,786 pemeriksaan keselamatan dan kesihataan pekerjaan di sektor pembinaan, dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan telah dilaksanakan dengan jumlah penalti sekitar RM1.7 juta.

 

"JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam. 

 

"Majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja
menjalankan aktiviti kerja," tegasnya.

 

JKKP mengingatkan kepada semua pihak berkepentingan di dalam industri pembinaan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor untuk menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan. 

 

"Untuk itu, JKKP akan terus melakukan pemantauan di lapangan termasuk dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak termasuk pemaju dan kontraktor yang didapati mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya. - DagangNews.com