Siemens-BioNTech bangunkan pusat pengeluaran vaksin di seluruh dunia | DagangNews Skip to main content

Siemens-BioNTech bangunkan pusat pengeluaran vaksin di seluruh dunia

Siemens-BioNTech bangunkan pusat pengeluaran vaksin di seluruh dunia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Syarikat bioteknologi Jerman, BioNTech SE dan Siemens berhasrat meluaskan kerjasama strategik bagi memperbesar dan membangunkan kapasiti pengeluaran vaksin COVID-19 dengan pesat di seluruh dunia.

 

Melalui usaha tersebut, BioNTech akan mendirikan pusat pengeluaran bagi menghasilkan vaksin COVID-19 di seluruh dunia bermula dengan sebuah kemudahan pengeluaran di Singapura, berdasarkan teknologi dan kilang sedia ada miliknya di Marburg.

 

BioNTech dengan sokongan Siemens sebelum ini berjaya menukar sebuah kemudahan pengeluaran milik di Marburg kepada sebuah pusat penghasilan vaksin dalam tempoh lima bulan sahaja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Industries merangkap Ahli Lembaga Siemens AG, Cedrik Neike berkata, melalui kerjasama tersebut, pihaknya akan membekalkan teknologi digitalisasi dan automasi terkini seperti reka bentuk, simulasi dan perisian kejuruteraan serta teknologi kawalan proses untuk pusat pengeluaran BioNTech.

 

“Siemens dan BioNTech telah bekerjasama dengan jayanya selama bertahun-tahun. BioNTech ialah antara syarikat pertama bersama Pfizer yang memperkenalkan vaksin baru mRNA ke dalam pasaran.

 

"Teknologi dan kepakaran kami yang telah teruji berjaya membantu mereka untuk menukar kemudahan pengeluaran mereka dalam tempoh lima bulan sahaja berbanding setahun.

 

"Sekarang, kami ingin memindahkan kejayaan ini kepada pusat-pusat pengeluaran lain bagi memastikan vaksin COVID-19 boleh dibekalkan ke seluruh dunia dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Siemens AG merupakan sebuah syarikat teknologi yang memfokuskan kepada sektor industri, infrastruktur, pengangkutan, dan penjagaan kesihatan. 

 

Syarikat berkenaan mencipta teknologi untuk menambah nilai sebenar kepada pelanggan-pelanggannya menerusi pembinaan kilang-kilang yang lebih cekap dalam menguruskan sumber, rantaian bekalan yang berdaya tahan, grid-grid dan bangunan-bangunan yang lebih pintar serta sistem pengangkutan yang lebih selesa dan bersih di samping penjagaan kesihatan yang termaju. - DagangNews.com