KUALA LUMPUR 22 Dis - Siemens Malaysia meluahkan keyakinan rangkaian produk Sinova keluarannya bakal menyumbang kira-kira 35% kepada hasil menjelang 2026 sekaligus memberi kesan positif kepada ekonomi dan pertumbuhan pesat negara.
Sinova ialah rangkaian komprehensif kawalan voltan rendah, pensuisan, perlindungan dan peranti pemantauan kuasa yang sesuai untuk infrastruktur, bangunan, utiliti dan aplikasi perindustrian.
Rangkaian baharu ini direka dan dibina mengikut piawaian kualiti keselamatan dan kebolehpercayaan Siemens, selain ia juga dipasarkan pada segmen mampu milik dan kos efisien Siemens Malaysia dan pasaran ASEAN.
Naib Presiden dan Ketua Unit Perniagaan Produk Elektrik Siemens Malaysia dan Singapura, Alvin Chan Choon Hoong berkata, pasaran ASEAN meningkat dengan pesat dan dikenal pasti sebagai rantau berpontensi membangun, didorong oleh pembandaran pesat dan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, terdapat peningkatan dalam pelaburan pembuatan di rantau ini disebabkan lokasinya yang strategik serta penggunaan perkhidmatan dan infrastruktur digital yang tinggi.
“Kami berbangga menjadi rakan kongsi teknologi pilihan Malaysia sejak 110 tahun lalu apabila membuat jualan pertama di negara ini, membekalkan penyelesaian terkini bersesuaian dengan keperluan pelanggan.
“Justeru, kami percaya sekarang adalah masa yang sesuai untuk kami menembusi pasaran menerusi rangkaian produk baharu dan kami yakin akan diterima dengan baik.
"Kami berharap dengan kualiti dan nama jenama kami yang boleh dipercayai, dapat membawa produk mampu milik kepada pasaran dan pengguna dengan pembaharuan, terutamanya harga dan nilai," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM), Siew Choon Thye dan turut dihadiri Ketua Kewangan Unit Perniagaan Serantau bagi wilayah IAA, Uthaiwan Suppaworawat dan Ketua Kewangan SI EP Malaysia dan Singapura, Patricia Yap. - DagangNews.com