Signify lancar kedai konsep pencahayaan profesional Philips di Kuching | DagangNews Skip to main content

Signify lancar kedai konsep pencahayaan profesional Philips di Kuching

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Signify (dahulunya Philips Lighting) melancarkan kedai konsep pencahayaan profesional Philips yang pertama di Malaysia, menerusi kerjasama pembekal utama kawalan automasi industri, Mutiara Jayateknik Engineering (MJT).

 

Kedai konsep itu berfungsi sebagai pusat sehenti rumusan pencahayaan profesional yang mempamerkan pelbagai produk pencahayaan, sistem, dan perkhidmatan termasuk lampu cekap tenaga dan elektronik pencahayaan disesuaikan untuk pasaran profesional.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Signify Malaysia, Sukanto Aich berkata, pihaknya teruja memperluaskan kehadiran dengan melancarkan kedai tersebut di ibu negeri Sarawak melalui kerjasama dengan MJT Engineering. 

 

Katanya, dengan kepakaran dan rangkaian luas rakan kerjasama di Malaysia Timur, ia akan membantu mengukuhkan kedudukan Signify sebagai peneraju dalam bidang pencahayaan.

 

"Ia juga menyediakan rumusan pencahayaan terbaik untuk pelanggan kami, memandangkan kami melihat banyak peluang pertumbuhan di luar Semenanjung Malaysia.

 

"Dengan tawaran rangkaian produk yang luas dan terkini di kedai konsep ini, pelanggan kami dapat membeli semua keperluan pencahayaan dengan mudah di tempat yang sama," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Selaras dengan misi Sarawak untuk mencipta bandaraya hijau yang lestari dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 45% menjelang 2030, Signify menyokong misi itu dengan menerajui  gerakan peralihan tenaga dalam kalangan perniagaan dan industri tempatan.

 

 

philips

 

 

Ia menerusi portfolionya yang luas berkenaan rumusan pencahayaan LED pintar dan cekap tenaga seperti yang dipamerkan di kedai konsep itu.

 

Ia juga memberikan akses kepada perniagaan dan pemain industri cara yang mudah dan berkesan untuk memainkan peranan mereka dalam mengurangkan penggunaan tenaga dan bil elektrik dalam jangka panjang, sejajar dengan Agenda Tenaga Hijau Sarawak.

 

Signify telah melancarkan program 'Green Switch' untuk menjalin kerjasama dengan majlis negeri dan bandar, serta industri dan perniagaan untuk menggalakkan penggunaan pencahayaan LED dan solar dalam infrastruktur bangunan bagi membentuk sebahagian daripada pembangunan lebih mampan. 

 

 

philips

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas MJT Engineering, Alexander Koh pula berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Signify untuk menyediakan pelanggan dengan produk pencahayaan dalaman dan luaran inovatif, berkualiti tinggi, dan mudah digunakan, di samping perkhidmatan terbaik melalui kerjasama mereka. 

 

"Kami percaya bahawa kerjasama ini dapat membolehkan kami memberi khidmat pelanggan yang lebih baik serta membantu Signify mencapai matlamat pencahayaan komersial dan industri mereka," katanya. - DagangNews.com