Sijil pendaftaran francais rasmi lebarkan ‘sayap’ Santan ke 20 lokasi | DagangNews Skip to main content

Sijil pendaftaran francais rasmi lebarkan ‘sayap’ Santan ke 20 lokasi

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. -  Restoran yang menawarkan hidangan penerbangan pertama di dunia, Santan dijangka terus berkembang pesat di Malaysia dengan sijil pendaftaran francais rasmi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menerusi sijil itu, Santan akan membuka 20 buah restoran baharu di sekitar Lembah Klang dengan francais pertamanya di pusat beli-belah SOGO, Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2020. 

Pembukaan francais disusuli oleh lokasi-lokasi strategik lain seperti AEON Shah Alam, PKNS Shah Alam dan NU Sentral Kuala Lumpur pada bulan Oktober; 163 Mont Kiara, Wangsa Walk dan Wisma Tune pada bulan November; serta IOI City Mall, Sunway Putra Mall dan lain-lain pada bulan Disember.

Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkembangan pesat Santan di Malaysia juga terus menyokong ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ yang bertujuan mempromosi produk tempatan dan mengukuhkan ekonomi domestik.

“Pihak kementerian berbesar hati untuk menyampaikan sijil francais rasmi kepada Santan, salah satu perniagaan tempatan yang berkembang di waktu yang mencabar ini dan membuktikan bahawa model perniagaan mereka berdaya saing. 

“Kami berharap lebih ramai usahawan tempatan akan mengambil peluang francais bersama Santan yang bukan sahaja akan merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara, malah meningkatkan nilai hasil dagangan industri francais menjelang tahun 2025,” katanya selepas menyampaikan sijil pendaftaran francais rasmi tersebut hari ini. 
 

santan
DARI kiri, Kamarudin Meranun, Rosol Wahid, Tony Fernandes, Alexander Nanta Linggi, Hasnol Zam Zam Ahmad, dan Catherine Goh di Santan Food.


Sijil itu disampaikan kepada Pengurus Besar Restoran Santan, Catherine Goh dan disaksikan oleh Timbalan KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Tan Sri Tony Fernandes; dan Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar, di restoran pertama Santan di Mid Valley Megamall.

Sejajar dengan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’, Santan juga telah menubuhkan Santan Food, satu ruangan khas bertempat di restorannya di Mid Valley Megamall untuk mempromosikan produk buatan Malaysia seperti makanan ringan, kopi, teh buatan tempatan dan banyak lagi. 

Santan juga bekerjasama dengan jenama gaya hidup tempatan, Bingka untuk menghasilkan barangan cenderamata buatan tangan yang menampilkan tema ‘Nasi Lemak Pak Nasser’. 

Dihasilkan oleh komuniti tempatan, cenderamata eksklusif itu boleh didapati di semua restoran Santan dan dalam talian di santan.com.my mulai 8 Oktober 2020.

Sementara itu, Goh berkata, selain menyediakan platform bagi membantu usahawan muda untuk menceburi industri makanan dan minuman, pengembangan 20 restoran baharu itu juga akan membuka ratusan peluang pekerjaan seperti kakitangan kaunter hadapan dan pengurusan restoran.

“Tahun ini, fokus kami adalah pada pengembangan di sekitar Lembah Klang untuk terus meningkatkan jenama kami dan sebagai batu loncatan untuk Santan berkembang ke seluruh Malaysia. 

“Menjelang tahun depan, kami yakin jumlah restoran akan mencecah hingga 100 buah dan restoran pertama di Sabah atau Sarawak dijangka akan dibuka pada suku pertama 2021,” jelas beliau.

Para usahawan yang berminat untuk memiliki dan mengendalikan francais Santan boleh menghubungi [email protected]. - DagangNews.com